Skip to main content

Malaysia adakan Mesyuarat AELM maya yang pertama hari ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) secara maya pada 8 malam ini, waktu Malaysia. 

Mesyuarat ini dijangka disertai pemimpin ekonomi dari 21 negara ekonomi APEC. 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva juga dijangka menyertai mesyuarat tersebut untuk memberi maklumat perkembangan terkini ekonomi global kepada para pemimpin. 

"Seperti sebelum ini, AELM didahului dengan Mesyuarat Menteri-menteri APEC (AMM) pada 16 November lalu," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Setakat ini, Malaysia berjaya menganjurkan 7 mesyuarat di peringkat menteri dengan AMM adalah yang terbaharu. 

Kesemua mesyuarat ini membawa kepada 8 konsensus Pernyataan Menteri dalam Perdagangan, Kesihatan, Kewangan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wanita dan Jaminan Makanan. 

Menurut MITI, AELM juga dijangka melancarkan APEC Post-2020 Vision, yang menjadi dokumen rujukan utama di rantau ini
dalam menentukan hala tuju strategik APEC bagi tahun-tahun akan datang. 

"Visi baharu ini akan membangunkan Bogor Goals yang dilancarkan pada 1994, yang akan mencapai tempoh matang akhir tahun ini," katanya. 

Dalam masa masa, katanya, para pemimpin juga dijangka mengeluarkan pernyataan konsensus pada akhir mesyuarat hari ini. 

Pernyataan itu yang mungkin dikenali sebagai Deklarasi Kuala Lumpur akan mengandungi rujukan bagi kerja-kerja yang dilaksanakan APEC sepanjang tahun ini di beberapa kawasan yang menjadi pusat pemulihan serantau dan pertumbuhan termasuk perdagangan, pelaburan, tindak balas dasar terhadap COVID-19, kemudahan perniagaan dan juga pendigitalan. 

MITI berkata, AELM turut menjadi saksi Malaysia menyerahkan kedudukan Pengerusi APEC 2021 kepada New Zealand. - DagangNews.com

 

APEC 2020