Malaysia Airlines bekerjasama dengan ReveMax untuk tingkatkan hasil | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines bekerjasama dengan ReveMax untuk tingkatkan hasil

 

 


KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysia Airlines menjalinkan kerjasama dengan ReveMax untuk melaksanakan ‘Airline Revenue Maximization Solution (ARMS)’ bagi memperkukuhkan proses membuat keputusan perniagaan dan komersial syarikat penerbangan itu.

 

Perkongsian itu membolehkan ReveMaX menyediakan penyelesaian ARMS yang inovatif, platform sokongan keputusan strategik, dan gambaran lengkap dan komprehensif mengenai ekosistem pendapatan serta kos syarikat penerbangan.

 

"Sistem ini juga membolehkan kakitangan syarikat penerbangan nasional ini melihat pandangan yang telus, lengkap dan keseluruhan perkembangan harian MalaysiaAirlines dan membuat keputusan berkaitan hasil dengan segera berdasarkan data dilengkapi fakta," kata Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Dikuasakan oleh kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin, platform tersebut menyediakan kecerdasan ramalan dan preskriptif, menghubungkan jabatan penerbangan yang berbeza dan panduan untuk membuat keputusan strategik yang lebih bijak untuk meraih keuntungan dan pada masa sama mengekalkan kestabilan kewangan organisasi tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd., Izham Ismail berkata, syarikat penerbangan itu telah melihat pentingnya memiliki perniagaan yang berdaya tahan dan mapan, ia dibina berdasarkan asas digitalisasi yang membolehkan perniagaan berkenaan beroperasi dengan cekap.

 

"Bersama dengan integrasi sistem dalaman kami yang lain, kami dapat melakukan perubahan  sepenuhnya  terhadap  proses kami dan melaksanakannya dengan penggunaan secara manual yang minimum,” katanya.

 

ReveMax adalah penyedia penyelesaian strategik digital yang memberi fokus kepada transformasi strategi digital, integrasi sistem yang memanfaatkan teknologi baharu serta terlibat dalam proses strategik dan inovatif. - DagangNews.com