Skip to main content

Malaysia Airlines buat laporan polis terhadap 2 individu

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mei - Malaysia Airlines membuat laporan polis terhadap 2 individu ekoran dakwaan tidak berasas mereka di media sosial berhubung syarikat penerbangan nasional itu. 

 

Individu berkenaan adalah Wan Hilmi Wan Mohd Nor Hilmi dan Muhammad Fahmi Abdullah, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan hari ini. 

 

Langkah itu diambil berikutan dakwaan penerbangan Malaysia Airlines dari India dibenarkan memasuki Malaysia menjadi viral di media sosial.

 

"Syarikat mendapati tuduhan oleh individu tertentu ini bukan sahaja menjejaskan reputasi kami tetapi juga berpandangan ia boleh mengancam kredibiliti negara dalam mengekang penularan wabak COVID-19," tegasnya. 

 

Baca : Hanya penerbangan kargo dibenarkan dari India

 

Pagi tadi, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjelaskan semua penerbangan Malaysia Airlines yang menjadi viral di media sosial merupakan penerbangan kargo.

 

Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier.

 

Ini selari dengan arahan kerajaan selepas Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), berkuatkuasa 28 April 2021, semua penerbangan penumpang dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia. 

 

Malaysia Airlines sekali lagi mengulangi bahawa semua penerbangan yang digunakan oleh syarikat penerbangan itu perlu mendapat persetujuan pihak berkuasa yang berkaitan di negara masing-masing dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dan kesihatan yang ketat.

 

Menurutnya, sebagai syarikat penerbangan nasional dan global, syarikat memikul tanggungjawab bagi memastikan rangkaian bekalan global dapat dikekalkan di samping menyediakan perkhidmatan kepada negara dan rangkaian dengan mengekalkan hubungan domestik dan antarabangsa bagi memudahkan pergerakan penting. 

 

"Sepanjang tahun lalu, syarikat penerbangan ini telah melaksanakan lebih daripada 300 penerbangan ihsan dan penghantaran pulang ke seluruh dunia," katanya. - DagangNews.com