Malaysia Airlines diyakini kembali kukuh berikutan kebenaran rentas negeri | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines diyakini kembali kukuh berikutan kebenaran rentas negeri



PETALING JAYA 12 Okt - Malaysia Airlines Bhd (MAB) mengunjurkan kembali berkembang kukuh dalam perniagaannya dan operasi akan berjalan  lancar serta tidak menghadapi masalah kekurangan tenaga kerja selepas rentas negeri dibenarkan yang berkuat kuasa pada 11 Oktober lepas.

 

Ketua Pegawai Pemasaran Kumpulan dan Pengalaman Pelanggan Malaysia Airlines, Lau Yin May berkata, MAB bersolidariti dengan mengekalkan pekerja bagi melakukan persediaan berikutan perjalanan udara kembali beroperasi walaupun menghadapi cabaran akibat pandemik COVID-19.

 

"Kami sudah jangka akan menghadapi kekurangan tenaga kerja dan sentiasa bersedia untuk permintaan terhadap perkhidmatan kami kembali semula...kami tidak boleh melatih pekerja dalam waktu yang singkat, ia memerlukan masa.

 

“Ketika pandemik kebanyakan syarikat penerbangan tidak mahu mengekalkan pekerja. Ia bukan sesuatu yang mudah tetapi kami gembira dapat membantu pekerja kami,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MAB dan SEG International Group Sdn Bhd (SEGi). Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SEGi, Stella Lau, lapor Bernama.

 

Mengimbas kembali, ribuan pekerja industri penerbangan global diberhentikan kerana masalah kewangan akibat pandemik COVID-19 manakala ada juga yang memilih untuk berhenti kerja.

 

Syarikat penerbangan komersial terutamanya di United Kingdom dan Amerika Syarikat ketika ini sedang bertungkus lumus menghadapi kenaikan jumlah trafik penumpang udara disebalik kekurangan juruterbang.

 

MAB kini mengaji kira-kira 11,000 pekerja termasuk 1,049 juruterbang dan 2,034 kru kabin.

 

Mengenai MoU, Lau berkata ia akan melengkapkan strategi perniagaan MAB dan SEGi untuk membangunkan bakat terbaik di peringkat global.

 

"Sebagai syarikat penerbangan nasional, peranan kami lebih daripada sekadar memberikan perkhidmatan tetapi turut mengiktiraf untuk memberi peluang kepada bakat (pekerja berkemahiran) masa depan dan membina saluran kepada penginovasi berkhidmat dengan industri penerbangan atau pelancongan,” katanya.

 

 

Lau Yin May
Lau Yin May

 

 

MoU berkenaan memfokuskan inisiatif yang luas termasuk program latihan amali dan penempatan pelajar, mengadakan lawatan, menganjurkan acara bersama, pembangunan agenda akademik campuran, aktiviti penyelidikan bersama serta aktiviti pemasaran dan promosi.

 

Pelajar SEGi akan meraih  keuntungan daripada program pengembaraan  pelajar digital syarikat penerbangan itu antaranya ialah  MHexplorer seperti pemberian diskaun penerbangan sebanyak 30% untuk semua destinasi, bagasi daftar masuk sebanyak 10 kg dan ganjaran mata Enrich untuk yuran pendidikan. - DagangNews.com