Skip to main content

Malaysia Airlines lanjutkan kontrak sokongan teknikal pesawat dengan Airbus

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April - Syarikat pengeluar kapal terbang global, Airbus dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) melanjutkan kontrak perkhidmatan penyelenggaraan pesawat iaitu Flight Hour Services Components (FHS-C).

 

Kontrak FHS itu bagi sokongan teknikal untuk pesawat A330 dan A350, selepas MAB telah menyelesaikan langkah penstrukturan hutangnya baru-baru ini. 

 

Airbus dalam sebuah kenyataan memberitahu, perjanjian itu telah ditandatangani di sini, antara Ketua Pegawai Pegawai Operasi MAB, Ahmad Luqman Mohd Azmi dan Presiden Asia Pasifik Airbus, Anand Stanley.

 

Ahmad Luqman berkata, MAB percaya jenama Airbus dapat menyediakan sokongan teknikal penting buat kapal-kapal terbang besar yang dioperasikannya.

 

“Seiring kami melangkah ke hadapan sebagai sebuah syarikat penerbangan dan menawarkan hospitaliti Malaysia ke seluruh dunia, pesawat Airbus yang kami terbangkan akan menjadi simbol kebolehpercayaan dan ketekalan,” katanya menerusi kenyataan sama. 

 

Lanjutan kontrak untuk tempoh beberapa tahun itu meliputi sokongan teknikal oleh Airbus bagi pesawat-pesawat besar sedia ada seperti A350, A330, dan A330-200F yang dioperasikan oleh MASKargo.

 

Sementara itu, Stanley menjelaskan, Airbus berusaha untuk memberikan penyelesaian bernilai tambah dan membantu syarikat penerbangan memastikan kebolehpercayaan operasi ditingkatkan. 

 

Sekitar lewat Februari lalu, syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group Berhad (MAG) menerima kelulusan daripada mahkamah United Kingdom (UK) untuk melaksanakan penstrukturan hutang dengan pemberi sewa pesawat melibatkan 67 kapal terbang. 

 

Pada masa sama, kreditor MAG juga bersetuju dengan penstrukturan hutang berjumlah RM15 bilion, dan turut menyaksikan pelunasan hanya berlaku apabila pesawat-pesawat itu digunakan. - DagangNews.com