Malaysia Airlines perlu suntikan dana | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines perlu suntikan dana

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Syarikat induk Malaysia Airlines Berhad (MAB), Malaysia Aviation Group (MAG) mendedahkan bahawa kumpulannya tidak mampu membuat pembayaran hutang kecuali menerima suntikan dana daripada Khazanah Nasional Berhad.

Perkara itu didedahkan menerusi sebuah surat yang dihantar kepada pemberi pinjaman, seperti dilaporkan Reuters.

Surat itu didakwa mengandungi permintaan syarikat penerbangan berkenaan untuk mendapatkan lebih potongan harga sewa pesawat daripada penyewanya sebagai sebahagian daripada rancangan penyusunan semula besar-besaran.

Kumpulan syarikat penerbangan itu juga berdepan kadar perbelanjaan tunai kira-kira SG$84 juta setiap bulan, tetapi hanya mempunyai SG$88 juta mudah tunai (liquidity) setakat 31 Ogos dan tambahan SG$139 juta daripada pemegang saham tunggal MAG, Khazanah. 

 

MAB
MAG tidak mampu melaksanakan pembayaran kepada pemberi pinjaman selepas November 2020.

 

“Berdasarkan kedudukan kewangan semasa, tanpa dana daripada pemegang saham, kumpulan syarikat tidak mampu memenuhi kewajipannya, termasuk pembayaran kepada pemberi pinjaman selepas November 2020,” jelas MAG menerusi surat berkenaan. 

Surat itu telah dihantar pada bulan lalu, tetapi tarikh yang tepat tidak dapat dipastikan. 

Sementara itu, MAG dan Khazanah belum mengeluarkan sebarang maklum balas berhubung isu tersebut.

Sebelum ini, syarikat penerbangan negara berdepan cabaran untuk pulih daripada dua tragedi yang berlaku pada tahun 2014, iaitu kehilangan pesawat MH370 dan insiden tembakan MH17.

Kemudian, Khazanah mengambil alih MAG sebagai sebahagian daripada pengstrukturan semula bernilai SG$1.5 bilion, tetapi kini berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Menurut sumber, MAB didakwa merancang untuk mendapatkan diskaun pembayaran menerusi proses mahkamah di United Kingdom (UK). - DagangNews.com