Malaysia Airlines tangguh bayaran sukuk selama 6 bulan | DagangNews Skip to main content

Malaysia Airlines tangguh bayaran sukuk selama 6 bulan

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines menangguhkan pembayaran bon Islam atau sukuk kepada pemegang selama enam bulan kerana masih bergelut dengan impak ekonomi akibat krisis COVID-19. 

Sukuk Musharakah yang bernilai RM1.5 bilion diterbitkan pada tahun 2016 itu sepatutnya dibayar pada 30 September ini, mengikut jadual. 

Perkara itu diumumkan oleh CIMB Investment Bank Berhad menerusi laman Fully Automated System for Issuing and or Tendering (FAST) Bank Negara Malaysia (BNM).

Jelas CIMB Investment Bank, Malaysia Airlines mengeluarkan notis mengenai perkara berkenaan pada 17 September lalu. 

Sebelum ini, Malaysia Airlines menerbitkan sukuk berkenaan untuk mengutip dana bagi modal bekerja dan pelaburan umum. 

Malaysia Airlines tetap mengalami kerugian walaupun menerima suntikan sebanyak RM6 bilion dan diswastakan oleh pemegang saham tunggal, Khazanah Nasional Berhad pada tahun 2014.

Perkara itu didorong oleh isu kapasiti berlebihan, kos bahan api yang tinggi dan nilai ringgit menyusut.

Malaysia Airlines malah berdepan cabaran getir apabila industri penerbangan terpaksa dihadkan ke dalam negara susulan pandemik COVID-19.  

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menjangkakan industri penerbangan Malaysia akan mengalami kerugian sehingga RM13 bilion pada tahun ini. 

Sebanyak RM10.9 bilion daripada jumlah itu melibatkan tiga syarikat penerbangan Malaysia termasuk Malaysia Airlines. - DagangNews.com