Skip to main content

Malaysia atasi banyak negara dalam usaha pulihkan ekonomi pasca pandemik - Pakar Ekonomi

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Walaupun berhadapan dengan cabaran dan gangguan dalam fasa pemulihan akibat pandemik COVID-19, kerajaan Malaysia telah melakukan jauh lebih baik daripada kebanyakan negara termasuk Australia dan United Kingdom (UK) dalam membawa ekonomi ke hadapan ke dalam mod pertumbuhan. 

 

Ketua Ahli Ekonomi Global, Juwai IQI, Shan Saeed berkata, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi komitmen sepenuhnya untuk mengawal virus dan membawa ekonomi ke hadapan memasuki trajektori pertumbuhan. 

 

"Perlu difahami isu yang ada dalam setiap ekonomi memerlukan masa untuk diselesaikan. Tiada apa-apa yang berlaku semalaman dalam persekitaran di mana virus tidak diketahui atau bermutasi dan tiada manual tentang cara menangani virus ini.

 

"Setelah lebih 10 tahun tinggal di negara ini sebagai pengulas pasaran kewangan bebas, ciri penting utama yang saya perhatikan dalam pasaran ialah perdagangan hanya boleh meningkat jika negara mengekalkan kestabilan makroekonomi di peringkat strategik. 

 

“Dan ternyata, jumlah perdagangan telah meningkat, dan saya akan memberi kredit penuh kepada kerajaan, MIDA dan MITI.

 

"Mereka berhak mendapat tepukan gemuruh kerana mengekalkan momentum ekonomi meningkat. Mencecah RM1.2 trilion," katanya kepada DagangNews.com hari ini.

 

 

Shan Saeed
Shan Saeed

 

 

Shan berkata demikian ketika mengulas tentang keadaan pertumbuhan ekonomi semasa Malaysia yang kini dalam fasa pemulihan akibat dari pandemik COVID-19. 

 

Jelas beliau, kerajaan juga telah berjaya mengemudi dengan baik melalui interaksi antara epidemiologi dan ekonomi. 

 

Bahkan, beliau menyifatkan komitmen kerajaan untuk mencapai kestabilan makroekonomi adalah sesuatu yang ketara dan wajar diberi penghargaan. 

 

"Ini kerana banyak ekonomi mengalami kemerosotan teruk termasuk Australia dan UK kerana taktik yang lemah digunakan untuk membendung virus COVID-19," tambahnya.

 

Sementara itu, Shan berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) memainkan peranannya dengan sangat bijak dalam mengawal pasaran kewangan dengan aplikasi dasar monetari berhemat.

 

Katanya, bank pusat itu telah berjaya memastikan operasi pasaran pertukaran asing kekal cekap dan berkesan. 

 

“Kadar pertukaran ringgit memainkan peranan penting dalam ekonomi kerana kadar ini, antara lain, memberikan kesan terhadap harga eksport, import dan paras hutang negara dalam mata wang asing. 

 

“Dan ternyata, apa yang kita lihat ialah ringgit berjaya mengekalkan kestabilan strukturnya,” katanya.

 

 

ringgit
Kadar pertukaran ringgit yang fleksibel memainkan peranan penting.

 

 

Beliau berkata, kadar pertukaran ringgit yang fleksibel ini memainkan peranan penting dalam memastikan ekonomi mampu bertahan daripada kejutan luaran dengan membolehkan pelarasan yang bersesuaian dalam urus niaga ekonomi dan kewangan antarabangsa.

 

Shan juga berkata, BNM mengawal sepenuhnya landskap dasar monetari dan telah berjaya memenuhi mandat kestabilan harga dan pertumbuhannya

 

"Sektor pembuatan dan ICT sedang meningkat apabila pelabur tempatan telah mengambil leverage yang kuat daripada peluang dalam landskap global di mana Malaysia mempunyai kepakaran," katanya.

 

Menurut beliau, harga minyak yang lebih tinggi yang didagangkan pada paras AS$88.51 iaitu 13% tahun hingga kini akan memberi manfaat kepada kunci kira-kira kerajaan dan pergerakan dalam bahagian fiskal.

 

Malah, tambahnya, harga komoditi yang lebih tinggi akan kembali ke pasaran menyentuh kitaran super.

 

Di Juwai IQI, menurut Shan, “Kami telah pun berkongsi dalam pasaran bahawa ekonomi Malaysia dijangka mengatasi banyak ekonomi maju apabila permintaan domestik meningkat sepenuhnya," jelas beliau.  

 

Menurut Shan, secara keseluruhan, ekonomi negara memasuki mod pertumbuhan kerana 98% daripada populasi dewasa telah diberi vaksin dan lebih daripada 7.5 juta orang telah mendapat suntikan penggalak. 

 

“Pada pendapat saya, penggabungan dasar fiskal dan monetari akan menyokong prospek pertumbuhan untuk 2022 dan seterusnya. Komitmen kerajaan untuk mengekalkan kestabilan makroekonomi menjadi keutamaan,” tegas Shan. – DagangNews.com