Malaysia berpotensi terajui tenaga boleh diperbaharui Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Malaysia berpotensi terajui tenaga boleh diperbaharui Asia Tenggara

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Walaupun Malaysia menunjukkan prestasi dan bukti komitmen rendah terhadap peralihan tenaga boleh diperbaharui, namun negara ini mempunyai potensi untuk menerajui industri berkenaan di Asia Tenggara. 

Perkara itu tidak mustahil sekiranya Malaysia segera mewujudkan dan mengesahkan dasar pengecualian untuk menghentikan kilang batu arang dan gas baharu. 

Ini adalah berikutan, Malaysia mempunyai kebolehan tertinggi kerana merupakan hab pembuatan solar global dan pengembangan grid yang mencukupi. 

Menerusi laporan “Kad Skor Sektor Tenaga Asia Tenggara” oleh kelab pencinta alam, Greenpeace, Malaysia menerima skor D+ kerana masih bergantung kepada tenaga tidak lestari dan tumpuan kerajaan dalam industri gas asli serta petroleum.

“Walaupun Malaysia mempunyai potensi, namun kerajaan menyokong sektor gas. 

“Gas galian digunakan sebagai kunci utama untuk sekuriti tenaga, mewakili sumber keupayaan tenaga terbesar, disokong oleh kenyataan bahawa negara ini adalah salah satu daripada beberapa negara lain dengan rizab gas asli yang terbukti,”kata laporan itu. 

Dalam pada itu, Jurukempen Greenpeace Malaysia, Heng Kiah Chun berkata, penghasilan tenaga solar Malaysia memainkan peranan utama dalam ekonomi tenaga negara ini pada masa depan.

 

Heng
Heng Kiah Chun. - Gambar oleh Adli Ghazali/Anadolu Agency/Getty Images

 

“Malaysia digalakkan untuk melabur dalam projek solar di dalam dan luar negara untuk meningkatkan perkongsian tenaga boleh diperbaharui, yang akan mewujudkan anggaran 12,000 pekerjaan sebagai produk sampingan.

“Harga gas yang tidak menentu ketika ini disebabkan COVID-19 mendatangkan risiko yang mungkin akan berlaku pada masa depan. Solar pula tidak mempunyai harga bahan api dan Malaysia sudah menikmati kapasiti penghasilan yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Menerusi kenyataan akhbar Greenpeace hari ini, tumpuan terhadap sektor arang batu, perubahan dasar yang tidak menentu dan politik dalam tenaga solar serta angin menjadi penghalang kepada perubahan kelestarian iklim di Asia Tenggara.

Daripada lapan negara yang dijalankan kajian berkenaan, tiada yang mencapai sasaran 1.5 darjah ke arah peralihan tenaga boleh diperbaharui. 

Negara-negara berkenaan termasuk Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina, Malaysia, Laos, Kemboja, dan Myanmar.

Antara kesemua negara, Vietnam menunjukkan prestasi terbaik dengan Indonesia di kedudukan terendah. - DagangNews.com