Malaysia boleh memainkan peranan dalam industri tenaga Singapura | DagangNews Skip to main content

Malaysia boleh memainkan peranan dalam industri tenaga Singapura

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Mac - Dilaporkan pada Oktober lalu, Singapura menyasarkan untuk membangunkan tenaga janakuasa photovoltaic berkapasiti 2,000 megawatt (MW) menjelang 2030. 

 

Pembangunan loji ini bagi memenuhi keperluan kira-kira 350,000 isi rumah di negara tersebut. 

 

Setakat suku pertama 2020, statistik Pihak Berkuasa Pasaran Tenaga Singapura (EMA) melaporkan, Singapura mempunyai kapasiti solar pada 290MW dan ini bermakna ia memerlukan sekitar 1,700MW bagi memenuhi sasarannya dalam tempoh 10 tahun ini.

 

Malah, negara itu juga menyasarkan pembangunan ini akan diterajui oleh sektor swasta.

 

Untuk itu, Malaysia mempunyai keupayaan membantu Singapura mencapai sasarannya, menurut Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry.

 

"Ini mengambil kira keperluan kawasan tanah yang luas (selain daripada bumbung bangunan) untuk menjana tenaga solar, kami berpendapat Malaysia boleh membantu menyokong Singapura dalam perkara ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Sektor tenaga di Singapura beroperasi terutamanya menerusi turbin gas dan wap yang kesemuanya merangkumi 96% daripada keseluruhan kapasiti. Bagi sisa kepada tenaga (WTE) pula hanya terdiri daripada 2% dan solar (2.3%).

 

Pada tahun lalu, EMA mengumumkan akan melaksanakan 2 tahun percubaan untuk mengimport tenaga dari Semenanjung Malaysia ke Singapura. 

 

EMA merancang untuk mengeluarkan permohonan bagi cadangan (RFP) pada suku pertama 2021 bagi mengimport tenaga elektrik 100MW yang mana merangkumi kira-kira 1.5% daripada permintaan tertinggi di Singapura. 

 

Dalam nota kajian MIDF Research, firma itu berkata, di bawah RFP ini, tenaga elektrik import akan bermula seawal akhir 2021 melalui penghubung elektrik sedia ada antara Singapura dan Malaysia. 

 

"Hanya satu sahaja pengimport akan dipilih menerusi proses tender terbuka," tambahnya. 

 

Proses percubaan itu bertujuan untuk menilai dan menyelaraskan kerangka kerja teknikal dan peraturan bagi mengimport tenaga elektrik ke Singapura dan memudahkan import berskala besar dari rantau ini pada masa depan. 

 

tenaga nasional berhad

 

Semalam, syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Renewables Sdn. Bhd. memeterai binding term sheet bersama Sunseap Group yang berpusat di Singapura.

 

Kerjasama ini adalah tepat pada masanya, sejajar dengan jangkaan pelancaran tender oleh EMA bagi percubaan penyaluran bekalan tenaga rentas sempadan Malaysia-Singapura yang akan dilancarkan menjelang Mac 2021.

 

Baca : TNB teroka pasaran tenaga boleh diperbaharui Singapura

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, kerjasama tersebut membolehkan TNB meneroka pasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) dan Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) Korporat di negara tersebut.

 

Ini adalah usaha sama pertama TNB meneroka pasaran RE di Singapura dan kumpulan ini akan berada pada kedudukan terbaik bagi memanfaatkan segmen PPA Korporat yang sedang berkembang pesat.

 

Portfolio keseluruhan RE TNB adalah 2,732.3 megawatt (MW) di Malaysia (termasuk 2,536.1MW daripada hidro besar) dan 666MW di United Kingdom, Turki dan India yang kebanyakannya melibatkan aset penjanaan tenaga solar, angin dan hidro.

 

Rakan kongsi TNB dalam usaha ini, Sunseap adalah satu daripada syarikat bumbung solar terkemuka di Asia Tenggara dan syarikat solar terbesar di Singapura dengan perniagaan solar bersepadu sepenuhnya termasuk penglibatannya dalam segmen peruncitan tenaga.

 

Ia mempunyai kapasiti bersih 1.2 gigawatt (GW) di 11 pasaran dan lebih daripada 200 aset dalam pelbagai peringkat pembangunan. 

 

Sunseap mempunyai rekod memeterai PPA Korporat jangka panjang dengan pelanggan terkemuka seperti Microsoft dan Facebook.

 

Hafriz berkata, dengan penyaluran tenaga rentas sempadan berkapasiti 100MW yang memasuki Singapura dan sekiranya TNB berjaya, ia akan menyumbang secara positif kepada kumpulan. 

 

"Dalam masa sama, ia akan meningkatkan sumbangan kapasiti RE kepada 8300MW seperti disasarkan menjelang 2025 dan secara tidak langsung mengurangkan secara beransur-ansur kebimbangan ESG terhadap 'bahan bakar kotor'," katanya. 

 

Menurut beliau, kapasiti RE TNB ketika ini berada pada paras 3398MW dan ia memerlukan sehingga 145% peningkatan bagi mencapai sasarannya dalam tempoh 4 tahun lagi. 

 

TNB ketika ini sedang berbincang dengan Suruhanjaya Tenaga (EC) mengenai terma dan syarat bagi loji hidro Neggiri berkapasiti 300MW yang mana berdasarkan EC akan memulakan tarikh operasi komersial (COD) pada 2027. - DagangNews.com