Malaysia catat lebihan dagangan tertinggi, RM20.89b | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat lebihan dagangan tertinggi, RM20.89b

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Jumlah lebihan dagangan Malaysia melonjak sehingga 98.7% kepada RM20.89 bilion sekali gus mencecah rekod tertinggi setakat Jun 2020. 

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi Statistik Perdagangan Luar Jun 2020 menjelaskan, angka itu meningkat 101.1% daripada RM10.4 bilion berbanding bulan Mei. 

dosm

Bagi tempoh sama, nilai dagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan positif iaitu RM144.8 bilion dengan perkembangan 2.2% berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Eksport pada Jun 2020 melonjak sebanyak 8.8% kepada RM82.9 bilion selepas mencatatkan penurunan pada Mei sebanyak 25.5%. Pertumbuhan itu adalah yang tertinggi sejak November 2018.

dosm

“Bagaimanapun, nilai import turun sebanyak 5.6% kepada RM62 bilion berbanding tempoh sama pada 2019,” kata DOSM.

Bagi tempoh sama, China, Amerika Syarikat dan Hong Kong mencatatkan jumlah eksport tertinggi tetapi India menyaksikan penurunan. 

DOSM memberitahu, jumlah eksport negara pada separuh pertama 2020 menurun sebanyak 6.8% kepada RM449 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

dosm

Eksport barangan kilang yang menyumbang 87.5% kepada jumlah eksport, meningkat sebanyak 13.7% kepada RM72.5 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Prestasi eksport Malaysia nampaknya kian pulih daripada kesan pandemik COVID-19 setelah mencatat pertumbuhan positif pada bulan semasa,” tambah DOSM. 

dosm

Dua destinasi utama eksport Malaysia pada bulan Jun 2020 adalah China dan Singapura. 

Eksport ke China mencatatkan 17.8% daripada jumlah eksport Malaysia atau RM14.8 bilion, menyaksikan pertumbuhan dua digit  iaitu 46.8% atau RM4.7 bilion.

Eksport ke Singapura yang menyumbang 13.2% kepada eksport Malaysia meningkat sebanyak 3.7%  atau RM395.9 juta kepada RM11 bilion. - DagangNews.com