Skip to main content

Malaysia catat lebihan RM3 bilion dalam imbangan akaun semasa bagi suku pertama 2022

KUALA LUMPUR 13 Mei - Imbangan akaun semasa Malaysia terus merekodkan lebihan RM3 bilion pada suku pertama 2022 berbanding RM15.3 bilion pada suku sebelumnya.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Malaysia merekodkan aliran masuk bersih yang lebih tinggi sebanyak RM30.4 bilion dan lebihan akaun semasa pada suku pertama 2022 didorong oleh eksport bersih barangan.

 

Katanya, akaun barangan mencatatkan eksport bersih sebanyak RM40.5 bilion berbanding RM51.8 bilion pada suku keempat tahun lalu.

 

"Eksport barangan mencatatkan RM268.9 bilion berbanding RM271.3 bilion pada suku sebelumnya. Eksport utama adalah elektrik & elektronik (E&E), produk berasaskan petroleum dan minyak sawit; terutama ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

 

"Sementara itu, import barangan meningkat 4.0 peratus daripada suku sebelumnya kepada RM228.4 bilion. Import yang lebih tinggi diterajui oleh barangan perantaraan dan penggunaan telah diimport terutama dari China, Singapura dan Taiwan," katanya dalam Laporan Statistik Imbangan Pembayaran dan Kedudukan Pelaburan Antarabangsa Suku Tahun Pertama 2022, hari ini.

 

Mohd. Uzir berkata, eksport perkhidmatan dilihat berkembang lebih pantas daripada import.

 

Beliau berkata, akaun berkenaan mencatatkan defisit yang lebih rendah sebanyak RM15 bilion pada suku tahun pertama 2022 berbanding defisit sebanyak RM15.4 bilion suku sebelumnya, disokong oleh terimaan yang lebih tinggi dalam perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat serta bayaran yang lebih rendah pada perkhidmatan perniagaan lain.

 

"Berdasarkan perbandingan suku ke suku, eksport perkhidmatan meningkat 2.2% kepada RM24 bilion, manakala import meningkat sedikit 0.2% kepada RM39 bilion.

 

"Penyumbang utama kepada eksport perkhidmatan pada suku ini ialah perkhidmatan pembuatan bagi input fizikal yang dimiliki oleh pihak lain, penyelenggaraan dan pembaikan; selain perkhidmatan telekomunikasi, komputer dan maklumat," katanya.

 

Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, komponen perkhidmatan yang menyumbang kepada import yang lebih tinggi ialah pengangkutan, pembinaan dan perjalanan.

 

"Sepanjang Januari hingga Mac 2022, penduduk Malaysia membelanjakan sebanyak RM4.2 bilion di luar negara, lebih tinggi daripada RM200 juta yang dibelanjakan oleh pelawat asing di Malaysia, menyebabkan perjalanan mencatatkan defisit sebanyak RM4 bilion," katanya. - DagangNews.com