Malaysia catat nilai eksport bulanan tertinggi pada Sep 2021 sebanyak RM110.8 bilion | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat nilai eksport bulanan tertinggi pada Sep 2021 sebanyak RM110.8 bilion

 

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Prestasi dagangan Malaysia bagi September 2021 meningkat sebanyak 25.5% kepada RM195.5 bilion berikutan pertumbuhan 2 angka eksport dan import yang kukuh, menurut Jabatan Perangkaan menerusi Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia September 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Ia menyaksikan eksport merekodkan nilai bulanan tertinggi dengan berkembang 24.7% kepada RM110.8 bilion berbanding tahun sebelumnya manakala import menokok 26.5% kepada RM84.7 bilion tahun ke tahun.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan eksport itu disokong oleh eksport domestik dan eksport semula yang merupakan peningkatan bagi 13 bulan berturut-turut sejak September 2020. 

 

Katanya, eksport domestik berjumlah RM87.7 bilion dan menyumbang sebanyak 79.1% kepada jumlah eksport iaitu peningkatan sebanyak 22.4% manakala eksport semula mencatat nilai sebanyak RM23.2 bilion iaitu kenaikan 34.1% tahun ke tahun.

 

"Lebihan dagangan berkembang sebanyak 19.1% kepada RM26.1 bilion. Seiring dengan pemulihan aktiviti ekonomi domestik susulan daripada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN), prestasi bulan ke bulan bagi eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan juga menunjukkan pertumbuhan kukuh dengan masing-masing berkembang 16%, 14.2%, 15.2% dan 22.2%,” katanya dalam buletin berkenaan.

 

Selaras dengan  pertumbuhan tahunan itu, sebanyak  168 daripada 254 kumpulan barangan untuk eksport telah menunjukkan peningkatan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

 

Import menyaksikan sejumlah 147 daripada 260 kumpulan merekodkan pertumbuhan positif.

 

Dalam pada itu, ia menyaksikan, peningkatan eksport disumbangkan terutama oleh eksport yang lebih tinggi ke Singapura diikuti China, Amerika Syarikat (AS), Indonesia, India, Hong Kong dan Jepun.

 

China terus menjadi penyumbang utama kenaikan import sebanyak RM4.6 bilion diikuti Singapura, Kesatuan Eropah, Indonesia, Taiwan, AS dan Republik Korea. - DagangNews.com