Malaysia catat transaksi digital pantas, tertinggi pada 2020 | DagangNews Skip to main content

Malaysia catat transaksi digital pantas, tertinggi pada 2020

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 8 April – Lebih daripada 68 juta transaksi pembayaran digital pantas atau masa nyata telah diproses di Malaysia pada tahun 2020, menyaksikan lonjakan sehingga 864% berbanding tahun sebelumnya, iaitu 7 juta.

 

Ini disebabkan oleh peralihan trend dari pembayaran berasaskan tunai ke pembayaran masa nyata dan digital yang dipercepatkan oleh pandemik COVID-19, menurut laporan global baharu oleh ACI Worldwide dan GlobalData.

 

Laporan itu juga menyasarkan Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) untuk pembayaran masa nyata di Malaysia bakal mencecah 83.91% di antara 2020 hingga 2025.

 

Sementara itu, jumlah transaksi dompet digital di Malaysia telah meningkat sebanyak 171% pada tahun lalu.

 

Laporan itu melihat negara seperti Brazil, Mexico dan Malaysia yang sebahagian besar rakyatnya bergantung kepada wang tunai, kini cepat menyaksikan penggunaan dompet digital yang lebih meluas.

 

Ketua Pegawai Produk ACI Worldwide, Jeremy Wilmot berkata, pandemik COVID-19 menunjukkan pembayaran digital dan infrastruktur pembayaran yang kukuh adalah penting, sekaligus lebih banyak usaha mempercepatkan inovasi dirancang bagi tempoh sedekad.

 

Jeremy Wilmot
Jeremy Wilmot

 

“Negara yang mempunyai infrastruktur pembayaran yang mantap dilihat dapat mengatasi impak ekonomi pandemik ini.

 

"Pembayaran masa nyata telah membolehkan kerajaan-kerajaan negara, dengan kerjasama institusi kewangan, mempercepatkan pembayaran pakej stimulus kepada rakyat.

 

Ia juga memberikan kecairan kepada syarikat yang terpaksa menyesuaikan diri bagi berdepan dengan rantaian bekalan yang terganggu,” katanya dalam sebuah kenyataan berhubung laporan itu.

 

Bahagian kedua laporan ‘Prime-Time for Real Time’ yang pertama kali dilancarkan pada 2020 itu,  menjalankan analisis ke atas jumlah dan anggaran pembayaran masa nyata akaun merentasi 48 buah pasaran dunia.

 

Sementara itu, Ketua Penganalisis Pembayaran, GlobalData, Samuel Murrant melihat pembayaran masa nyata global masih di peringkat awal dan hanya tertumpu kepada pembayaran rakan setara (P2P) di kebanyakan negara.

 

“Namun, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan pertumbuhan instrumen ini. Dengan pengguna yang kian selesa dengan pembayaran P2P, mereka akan lebih kerap menggunakannya untuk e-dagang, menggantikan penggunaan kad yang dilihat lebih perlahan dan kurang cekap.

 

"Dari situ, terdapat potensi untuk beralih ke pembayaran dalam kedai, setelah lebih banyak jenama menggunakannya dan apabila pangkalan pelanggan sudah berkembang, untuk memberikan lebih banyak manfaat kepada peniaga-peniaga,“ katanya. – DagangNews.com