Malaysia cerahkan laluan ke pusingan akhir Piala Asia B-23 | DagangNews Skip to main content

Malaysia cerahkan laluan ke pusingan akhir Piala Asia B-23

Malaysia meraikan kemenangan kedua ke atas Mogolia dalam aksi Kumpulan J kempen Kelayakan Piala Asia B-23 di Ulaanbaatar, hari ini. - Foto - FAM

 

KUALA LUMPUR 28 Okt. - Skuad bawah 22 (B-22) tahun negara meraih kemenangan kedua dalam Kumpulan J kempen Kelayakan Piala Asia B-23 selepas menundukkan Mongolia 1-0 di Stadium MFF, Ulaanbaatar di Mongolia, hari ini.

 

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Brad Maloney semakin mencerahkan peluang untuk layak secara automatik ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 apabila memimpin Kumpulan J dengan mengumpul enam mata.

 

Skuad negara bagaimanapun boleh mengesahkan tempat ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan tahun depan lebih awal sekiranya aksi Laos dan Thailand, petang ini berkesudahan seri.

 

Jurulatih kebangsaan, Maloney berkata, dia kagum melihat prestasi anak-anak buahnya ketika memungut tiga mata berdepan tuan rumah itu.

 

Tambahnya, Malaysia juga berpeluang menambah jaringan namun tandukan Nur Azfar Fikri Azhar pada minit ke-37 dan rembatan Mukhairi Ajmal (minit ke-74) sekadar menggegarkan palang gol.

 

"Sejujurnya saya tidak jangka Malaysia boleh atasi tuan rumah kerana mereka turun dengan penuh bertenaga, kompetitif, lincah dan memiliki kekuatan fizikal.

 

"Malaysia juga berpeluang menambah satu atau dua gol lagi, tetapi apa pun yang penting kami berjaya membawa pulang tiga mata, saya berpuas hati dengan prestasi pemain saya hari ini," katanya.

 

Dalam saingan itu pemain sayap Terengganu, Nur Azfar sekali lagi muncul wira apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-40.

 

Sementara itu, Maloney menyifatkan perlawanan terakhir menentang Thailand, Ahad ini sangat mencabar kerana mereka memiliki barisan pemain yang lincah dan mampu memberikan ancaman.

 

"Hanya tinggal satu lagi perlawanan. Kami sudah melihat Thailand bermain pada Isnin lalu. Mereka sangat bagus, sangat taktikal dan mempunyai beberapa pemain yang lincah," katanya.-DagangNews.com