Malaysia dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Malaysia dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di Asia Tenggara

Datuk Henry Sum Agong ketika mengunjungi ruang pameran MCVE 2022 di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mac - Penganjuran kali ke-5 Ekspo Kenderaan Komersial Malaysia (MCVE) 2022 selama 3 hari membuka tirainya hari ini, berlangsung di Malaysia International Exhibition and Convention Centre (MIECC). 

 

Dengan penampilan mantap pempamer dari dalam dan luar negara, MCVE merupakan siri ekspo kenderaan komersial pertama dan paling besar pernah diadakan di Malaysia yang memberi fokus kepada penyelesaian pengangkutan masa depan dalam industrI kenderaan komersial.

 

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong berkata, Malaysia berada dalam posisi terbaik sebagai hab pengangkutan di rantau Asia Tenggara. 

 

Beliau berkata, infrastruktur sedia ada dibina untuk menangani cabaran pada masa depan ketika negara bergerak ke arah pemulihan ekonomi. 

 

"Selari dengan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan, kita memerlukan penyelesaian pintar. Justeru, saya teruja untuk melihat produk-produk terkini yang ditawarkan dalam industri kenderaan komersial Malaysia kerana ia penting dalam memudah dan meningkatkan ekonomi negara," katanya selepas merasmikan MCVE 2022 hari ini.

 

Dalam pada itu, penganjur MCVE 2022, Stefan Pertz pula berkata, hari ini semua pihak meraikan keupayaan industri untuk kembali bangkit. 

 

"Pandemik sememangnya menguji kita. Ujian ini telah berjaya kita atasi, terima kasih kepada dedikasi industri pengangkutan. 

 

 

mcve
(Dari kiri) Pengarah Urusan dan Naib Presiden MAN Truck & Bus, Andrew O'Brooks; Datuk Henry Sum Agong, Stefan Pertz dan Prof Dr. Wong Shaw Voon 

 

 

"Penganjuran MCVE pada tahun ini meraikan kejayaan ini. Kita bukan sahaja meraikan inovasi dan jenama yang telah dibawa ke dalam acara ini, malah menghargai setiap pemandu, pembekal industri, persatuan-persatuan dan pihak berkuasa," katanya.

 

 

mcve

 

 

Beliau berkata, pada tahun 2019, sebanyak 60 pempamer telah menyertai acara ini dan kebanyakan daripada mereka kembali untuk edisi tahun ini. 

 

"Saya berbesar hati melihat penglibatan jenama-jenama penting seperti MAN Truck & Bus sebagai penaja utama, Hap Seng Trucks Distribution selaku penaja, Caltex sebagai minyak pelincir rasmi, selain Scania Malaysia, Volvo Trucks Malaysia, Petronas Steelbro, Hammar, CIMC, CAMC, YonMing dan Michelin. 

 

 

mcve

 

 

"Penyertaan syarikat-syarikat antarabangsa seperti Geotab, Rakan Telematik MCVE, Hengst, Mann+Hummel’s Singapura dan Drive Risk dari Australia juga ada menghantar wakil masing-masing. Hengst akan menaja sebuah R&R, sama seperti ruang rehat yang ada di sepanjang lebuh raya di Malaysia," katanya.

 

 

mcve

 

 

Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr. Wong Shaw Voon berkata, Malaysia akan memanfaatkan adaptasi lebih berkesan terhadap teknologi kenderaan komersial yang lebih selamat dan hijau. 

 

"Ketika kita bergerak ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, kita juga harus berusaha untuk membentuk satu industri logistik yang mapan, selamat dan efisien,” katanya. - DagangNews.com