Skip to main content

Malaysia di tangga ke-22 Indeks Kebebasan Ekonomi. Apa maksudnya?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 5 Mac - Malaysia menduduki tangga ke-22 daripada 178 buah negara dari segi ekonomi paling bebas, berdasarkan Indeks Ekonomi Bebas (IEF) bagi tahun ini sekali gus mendahului negara-negara membangun lain antaranya Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi, Rusia dan Perancis. 

 

Indeks itu dikeluarkan oleh heritage.org yang turut mengklasifikasikan kedudukan berkenaan dalam lima kategori dengan skor masing-masing iaitu Bebas (100-80 mata), Hampir Bebas (79.9-70 mata), Sederhana Bebas (69.9-60 mata), Hampir Tidak Bebas (59.9-50 mata) dan Ditindas (49.9-0 mata). 

 

Menurut indeks berkenaan, Malaysia masih mengekalkan kedudukan ekonominya dalam kategori kedua iaitu Hampir Bebas dengan skor 74.4 sekali gus menjadikan negara berada di tangga ke-22. 

 

Di peringkat rantau Asia Pasifik, Malaysia di kedudukan ke-5 daripada 40 negara dan skor keseluruhan berkenaan melebihi daripada purata serantau dan dunia.

 

IEF

 

Bagaimanapun, menurut laporan tersebut, skor ekonomi negara menyusut 0.3 mata terutamanya disebabkan oleh penurunan dalam aspek keberkesanan kehakiman. 

 

“Kerajaan Malaysia mula melaksanakan pelan anti rasuah bagi tempoh beberapa tahun pada 2019 dan peningkatan kebebasan ekonomi yang tulen memerlukan kempen yang tertumpu untuk mengakhiri amalan seperti rasuah, pemerasan, nepotisme, kronisme, perlindungan, penggelapan wang, dan rasuah.

 

“Sektor kewangan (Malaysia) walaupun besar, ketinggalan dari segi pembangunan, di belakang pusat kewangan utama Asia.

 

“Setakat 1 Desember 2020, sebanyak 363 kematian dicatatkan ekoran pandemik COVID-19 di Malaysia, dan ekonomi diunjurkan menyusut 6.0% untuk tahun ini,” jelas laporan itu.

 

Indeks berkenaan merujuk kepada hak asasi setiap manusia untuk mengawal buruh dan harta benda sendiri. 

 

Ini bermakna, masyarakat Malaysia bebas dari segi ekonomi, individu boleh bekerja, menghasilkan, menggunakan, dan melabur dengan cara yang mereka pilih. 

 

Menurut laporan sama, IEF disenaraikan berdasarkan 12 komponen yang jatuh di bawah empat aspek utama iaitu Peraturan Perundangan, Saiz Kerajaan, Keberkesanan Kawal Selia dan Pasaran Terbuka. 

 

Di bawah aspek Keberkesanan Kawal Selia, ekonomi Malaysia menyaksikan ketiga-tiga komponen kebebasan perniagaan, kebebasan buruh dan kebebasan monetari melebihi skor purata keseluruhan. 

 

IEF

 

“Tempoh masa diambil untuk memulakan perniagaan telah meningkat dan Malaysia kehilangan asas dalam kebebasan perniagaan berbanding negara-negara lain. 

 

“Dalam pada itu, kadar penyertaan buruh paksa juga menyusut. Kerajaan terus menyasarkan program subsidi bahan api dengan tertumpu dan berkesan,” tambah heritage.org.

 

Bagi aspek Pasaran Terbuka, hanya komponen kebebasan perdagangan mencatatkan paras melebihi purata skor sementara kebebasan pelaburan dan kebebasan kewangan masing-masing jatuh di dalam dan bawah purata skor. 

 

Ujar heritage.org, kerajaan telah mengambil langkah untuk melonggarkan dasar pelaburan asing, tetapi masih ada syarat penyertaan ekuiti tempatan dalam beberapa sektor. 

 

Dalam pada itu, aspek Peraturan Perundangan menyaksikan komponen hak hartanah dan keberkesanan kehakiman melebihi skor purata kecuali integriti kerajaan yang lebih rendah daripada paras berkenaan. 

 

IEF

 

Badan kehakiman bebas secara nominal tetapi sangat dipengaruhi oleh eksekutif, menurut laporan itu. 

 

“Pelan Antirasuah Nasional tercetus daripada penggelapan berbilion-bilion dolar dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Masih perlu dilihat seberapa kuat pelan itu dilaksanakan,” tambah laporan tersebut. 

 

Aspek terakhir, Saiz Kerajaan menyaksikan ketiga-tiga komponen beban cukai, perbelanjaan kerajaan dan ‘kesihatan’ fiskal melebihi purata skor dunia. 

 

Jelas laporan itu, kadar cukai pendapatan individu teratas telah dinaikkan kepada 30% dan kadar cukai bagi korporat teratas diturunkan kepada 24%. 

 

“Beban cukai secara keseluruhannya bersamaan 12% jumlah pendapatan domestik. Perbelanjaan kerajaan merangkumi 22.8% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tiga tahun lalu, dan defisit belanjawan pada purata 3.0% daripada KDNK.

 

“Hutang awam bersamaan 57.2% daripada KDNK,” heritage.org ujar lanjut.

 

Secara keseluruhannya, Singapura meraih kedudukan ekonomi paling bebas di dunia, diikuti oleh New Zealand, Australia, Switzerland dan Ireland yang masing-masing tersenarai dalam kategori pertama, Bebas.  - DagangNews.com