Malaysia Digital pacu ekonomi digital negara - PM | DagangNews Skip to main content

Malaysia Digital pacu ekonomi digital negara - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Julai - Kerajaan membangunkan rangka kerja inisiatif baharu yang dikenali sebagai 'Malaysia Digital' (MD) bagi merancakkan ekonomi digital negara, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Ismail Sabri berkata, MD telah dibangunkan dengan berpandukan kepada tiga prinsip utama iaitu Fleksibiliti, Ketangkasan dan Relevansi.

 

Beliau berkata, MD menerusi projek mangkin MD atau PEMANGKIN akan berfungsi secara holistik dalam mentransformasikan ekosistem ekonomi digital negara menerusi tiga keutamaan strategik.

 

"Pertama, membantu memacu adaptasi digital dalam kalangan usahawan muda, syarikat dan rakyat. Kedua, menyokong syarikat teknologi tempatan untuk menjadi ‘Juara Malaysia' berjaya di peringkat antarabangsa dan ketiga, menarik pelaburan bernilai tinggi.

 

"Saya yakin menerusi keutamaan berkenaan, MD akan memacu lebih banyak program berimpak tinggi dan memberi impak langsung serta segera, khususnya kepada Keluarga Malaysia," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Malaysia Digital di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

 

Menurut Perdana Menteri, pada peringkat awal, dua PEMANGKIN akan diperkenalkan di bawah MD iaitu program DE Rantau dan Digital Trade.

 

Ismail Sabri berkata, program DE Rantau bertujuan menjadikan Malaysia sebagai Hab Nomad Digital pilihan di rantau ini melalui peningkatan penggunaan digital, mobiliti profesional digital dan aktiviti pelancongan di seluruh negara.

 

 

pm
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

 

 

"Aktiviti nomad digital di dalam negara akan memberi kesan limpahan yang bukan sahaja membantu memulihkan semula sektor pelancongan yang terjejas akibat pandemik. Malah ia akan merancakkan aktiviti perniagaan dan ekonomi tempatan di samping membuka peluang perkongsian pengetahuan serta pengalaman bersama komuniti setempat.

 

"Program Digital Trade pula berperanan untuk memacu e-dagang dan adaptasi digital oleh perniagaan serta memudahkan perdagangan merentas sempadan, selaras dengan Pelan Hala Tuju Strategik E-Dagang Kebangsaan (NESR).

 

"Digital Trade juga bertujuan menyokong pergerakan data yang lancar antara perniagaan untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kebolehpercayaan transaksi merentas sektor dan industri," katanya.

 

Beliau berkata, menerusi penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), program ini akan mempermudah jangkauan yang lebih luas ke pasaran global dan ini akan memberi manfaat besar kepada perniagaan tempatan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

 

Dalam pada itu, beliau berkata, bagi memastikan pelaksanaan MD lebih berkesan, Kabinet telah bersetuju agar Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) menubuhkan Jawatankuasa Koordinasi Malaysia Digital, atau MD-CC, untuk menyelaraskan tadbir urus dan operasinya, seperti penganugerahan Status MD.

 

"Menyedari bahawa peranan industri adalah sama penting untuk memastikan pelaksanaan yang berimpak tinggi, kerajaan juga telah menekankan kepentingan penglibatan para pemain industri, pihak pemegang taruh dan juga masyarakat dalam pelaksanaan pelbagai dasar negara, iaitu melalui pendekatan keseluruhan negara atau 'whole-of-nation approach'.

 

"Oleh itu, saya telah menyarankan agar pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mewujudkan sebuah platform khusus untuk memberi peluang kepada pemain industri agar dapat mengambil bahagian secara berterusan dan memberikan maklum balas yang wajar sepanjang pelaksanaan MD. 

 

"Saya yakin, dengan kerjasama dan muafakat pelbagai pihak, inisiatif MD ini akan dapat dilaksanakan dengan jayanya. Pihak kerajaan juga akan memberi tumpuan sepenuhnya agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar. Tadbir urus dan strategi pelaksanaannya akan diselaraskan di peringkat tertinggi kerajaan dan pemantauan serta penambahbaikannya akan dibuat dari semasa ke semasa," katanya.

 

Beliau berkata, menerusi struktur tadbir urus baharu ini, MD berperanan untuk mempercepatkan pendigitalan di seluruh negara, memangkinkan bidang pertumbuhan baharu, meningkatkan penyertaan syarikat teknologi tempatan serta menarik pelaburan-pelaburan berpotensi, sejajar dengan usaha merealisasikan aspirasi dan sasaran negara. 

 

"Melalui rangka kerja MD yang baharu, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa pihak kerajaan telah menganugerahkan Status MD kepada enam syarikat kelompok pertama, iaitu Bytedance System Sdn. Bhd., Bridge Data Centres Malaysia (III) Sdn. Bhd., GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd., Abbott Laboratories (Malaysia) Sdn. Bhd., Aceteam Connect Sdn. Bhd. dan Peninsula Apex Technologies Sdn. Bhd," katanya.

 

Beliau berkata, ekonomi digital Malaysia telah mencapai 22.6% kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada tahun lalu dan ia dijangka berkembang melepasi sasaran awal sebanyak 25.5% menjelang 2025.

 

Katanya, antara sektor yang pesat berkembang ialah e-Dagang yang menyumbang sebanyak 11.5% kepada KDNK pada 2020 berbanding 8.5% pada 2019. 

 

"Nilai transaksi e-dagang negara juga telah mencecah RM1 trilion buat pertama kalinya tahun lepas, meningkat sebanyak 21.8% berbanding 2020," katanya. - DagangNews.com