Malaysia ‘intai’ pelaburan bidang baharu pasca COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Malaysia ‘intai’ pelaburan bidang baharu pasca COVID-19

malaysia

KUALA LUMPUR 6 Julai - Kerajaan menerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang mencari peluang pelaburan dalam bidang baharu dan berteknologi tinggi selepas COVID-19.

Perkara itu tidak mustahil memandangkan negara ini mempunyai beberapa daya tarikan yang dapat ditawarkan kepada para pelabur. 

Menteri Kanan MIDA, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, antaranya Malaysia mempunyai kemudahan infrastruktur baik, tawaran insentif dan saranan nilai kepada pelabur yang berpotensi. 

Saranan nilai ini merujuk kepada kecekapan kita dalam membuat keputusan yang muktamad, selain memberi kelulusan dalam tempoh yang amat pendek.

“Kalau tidak ada saranan nilai, masalah (kecekapan dan kelulusan) ini akan melengahkan pelabur untuk masuk ke Malaysia,” katanya. 

Ekonomi di seluruh dunia mulai lumpuh akibat penularan jangkitan COVID-19 dengan pasaran Eropah yang paling teruk terjejas.

Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi situasi sama. 

Kadar pengangguran negara pada April lalu melonjak sebanyak 5% sekali gus mencatatkan jumlah tertinggi dalam tempoh sedekad berikutan penutupan operasi syarikat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Susulan itu, kerajaan mengumumkan kebanyakan sektor perniagaan dibenarkan beroperasi dan pekerja dibenarkan bekerja semula bagi merancakkan ekonomi negara. 

Pada suku pertama 2020, pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya mencatatkan peningkatan 0.7%.

Kadar eksport negara pula merudum sebanyak 25.5% iaitu penurunan tertinggi sejak 11 tahun lalu.  - DagangNews.com