Malaysia jadi negara ke-12 lengkapkan proses ratifikasi RCEP | DagangNews Skip to main content

Malaysia jadi negara ke-12 lengkapkan proses ratifikasi RCEP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Jan - Malaysia akan menjadi negara ke-12 melengkapkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau atau Regional Comprehensive Economic Partnership (RCEP) yang akan berkuat kuasa pada 18 Mac 2022 ini.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, Malaysia sudah menyerahkan surat cara ratifikasi atau Instrument of Ratification (IOR) kepada Sekretariat ASEAN pada 17 Januari 2022 selaras dengan mandat yang diberikan oleh Jemaah Menteri pada 12 Januari 2022. 

 

Katanya, penyerahan surat cara ratifikasi kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan menyertai Singapura, China, Jepun, Brunei, Kemboja, Laos, Thailand, Vietnam, Australia, New Zealand dan Korea Selatan yang telah melengkapkan proses ratifikasi mereka.

 

"Selaras dengan Artikel 20.6 Perjanjian RCEP yang memperuntukkan bahawa perjanjian itu akan berkuat kuasa selepas 60 hari surat cara ratifikasi diserahkan kepada Sekretariat ASEAN, Malaysia akan mula menguatkuasakan perjanjian itu pada 18 Mac 2022," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MITI berkata, berdasarkan data Bank Dunia 2019, RCEP merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas terbesar dunia meliputi 15 negara dengan 2.2 bilion atau hampir satu pertiga (29.5%) penduduk dunia, mewakili AS$25.8 trilion (RM108.12 trilion) atau 29.4% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia, 

 

Pelaksanaan Perjanjian RCEP akan menjadi bukti kukuh kepada usaha kerajaan dalamperdagangan pelbagai hala selain mengukuhkan integrasi ekonomi serantau dan menyokong agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO).
 

"Malaysia dijangka menerima manfaat terbesar menerusi perjanjian itu dari segi eksport, dengan unjuran nilai peningkatan eksport sebanyak AS$200 juta (RM838.16 juta), hasil daripada penghapusan dan pengurangan tarif untuk barangan dagangan, penambaikan kemudahan eksport dan import barangan dalam kalangan negara-negara RCEP. 

 

"Selain itu, penyedia perkhidmatan termasuk e-dagang akan dapat menikmati akses pasaran yang lebih besar menerusi peningkatan bekalan rentas sempadan serta menggalakkan keberadaan dan penglibatan mereka dalam pasaran RCEP," katanya.

 

MITI berkata, RCEP akan menjadi penggerak utama untuk Malaysia dalam usaha merancakkan semula aktiviti perniagaan dalam negara dan antarabangsa bagi pemulihan ekonomi negara pasca pandemik. 

 

Katanya, Malaysia akan terus mengamalkan pendekatan ekonomi terbuka dengan dasar mesra perniagaan dan pragmatik bagi terus memupuk iklim perdagangan dan pelaburan yang kondusif di negara ini. - DagangNews.com