Malaysia kini antara negara miliki kadar vaksinasi terpantas di dunia, kata The Sydney Morning Herald | DagangNews Skip to main content

Malaysia kini antara negara miliki kadar vaksinasi terpantas di dunia, kata The Sydney Morning Herald

Vaksin COVID-19

KUALA LUMPUR 15 Julai - Meskipun bergelut dengan jumlah harian jangkitan COVID-19 yang mencecah lebih 11,000 kes, Malaysia kini tersenarai antara negara yang memiliki kadar vaksinasi terpantas di dunia.

 

Buat hari ketiga berturut-turut, Malaysia mencatatkan jumlah pemberian vaksin melebihi 400,000 dos bermula 12 Julai 2021.

 

Memetik laporan The Sydney Morning Herald dan The Age, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berkata, kerajaan Malaysia telah mempercepatkan inokulasi selepas membuat rundingan semula berkaitan bekalan dan penghantaran vaksin yang dibeli dua bulan lalu.

 

Sebanyak 70% daripada bekalan tersebut merupakan vaksin jenis Pfizer.

 

"Kebanyakan portfolio kami terdiri daripada vaksin Pfizer dan kami cuba untuk mendapatkan vaksin dari pengeluar lain pula.

 

"Sebelum ini, kami telah membuat keputusan bahawa tidak boleh untuk kami menumpukan kepada satu atau dua pengeluar sahaja," katanya seperti dilapor media Australia itu.

 

Selain Pfizer, Malaysia turut memperoleh dos vaksin Sinovac China, AstraZeneca dan CanSino yang hanya memerlukan satu dos pelalian.

 

Setelah menyaksikan permulaan vaksinasi yang sedikit perlahan, Malaysia kini telah merekodkan satu perempat populasi yang divaksin sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

 

Dalam pada itu, sasaran Malaysia untuk mencapai populasi divaksin sebanyak 40% menjelang akhir Ogos dan 60% pada akhir September nanti mampu dicapai sekiranya pihak pembekal memberi komitmen yang baik.

 

Melalui perjanjian rundingan semula Malaysia dengan pengeluar Pfizer, syarikat farmaseutikal Amerika Syarikat menghantar 25 juta dos antara Julai dan  September.

 

Mengikut ourworldindata.org, jumlah pemberian dos vaksin harian bagi setiap 100 penduduk di Malaysia meningkat kepada 1.09 pada 12 Julai baru-baru ini, berbanding 0.38 pada bulan sebelumnya.

 

.

 

Peningkatan tersebut sekali gus mengangkat kedudukan Malaysia ke tangga kedua dunia berbanding bulan sebelumnya. 

 

Bagi laporan harian vaksinasi, Malaysia memasuki hari ketiga berturut-turut mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian melebihi 400,000 dos.

 

Semalam, Malaysia sekali lagi mencatatkan jumlah pemberian dos tertinggi dengan jumlah sebanyak 434,828 dos.

 

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah berkenaan meliputi 279,938 pemberian dos pertama dan 154,890 bagi pemberian dos kedua. - DagangNews.com