Malaysia mampu jadi peneraju Islamik Fintech | DagangNews Skip to main content

Malaysia mampu jadi peneraju Islamik Fintech

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Dis. - Pasaran teknologi kewangan (Fintech) di Malaysia yang berkembang pesat di Asia Tenggara menyaksikan hampir 200 firma tempatan dan antarabangsa beroperasi di negara ini setakat September 2020. 

 

Malah, Malaysia juga mempunyai potensi sebagai peneraju dalam Islamik Fintech memandangkan ia mengalami pertumbuhan stabil dalam aktiviti dan pelaburan Fintech di peringkat serantau dan global. 

 

Menerusi laporan terkini, Islamik Fintech di Malaysia : Realiti dan Prospek menunjukkan kebanyakan aktiviti Fintech di Malaysia tertumpu dalam ruang pembayaran dan dompet yang mana e-dagang telah memacu permintaan daripada pengguna dan peniaga. 

 

"Trend ini juga disokong oleh agenda Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mempercepatkan peralihan negara kepada pembayaran elektronik, justeru, mampu merealisasikan penjimatan kos dan pelbagai manfaat lain," katanya. 

 

Laporan itu dikeluarkan Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewangan Islam Global (INCIEF) dengan kerjasama Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA) dan Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDeC). 

 

Ia memberi fokus kepada landskap ekosistem Fintech di Malaysia dan potensi negara untuk menjadi hab Islamik Fintech global. 

 

Malah, laporan berkenaan juga dapat memberi panduan kepada usahawan Fintech tempatan dan antarabangsa untuk menubuhkan dan mengembangkan syarikat pemula Fintech di Malaysia. 

 

Jelas laporan itu, persekitaran kawal selia yang mantap beserta landskap Fintech yang komprehensif, komuniti kewangan Islam serta komitmen kerajaan untuk menerajui ekonomi Islam telah membuka jalan kepada Malaysia untuk muncul sebagai hab global Islamik Fintech. 

 

Dengan visi dan kelebihan yang ada ini, syarikat pemula Islamik Fintech di Malaysia mampu menikmati prospek pertumbuhan jangka panjang dengan meningkatkan perkhidmatan ekonomi Islam secara meluas kepada hampir 1.8 bilion populasi di seluruh dunia. 

 

"Dalam masa sama, ia memerlukan persekitaran kawal selia yang boleh menyokong institusi, peluang pembiayaan, inisiatif pembangunan modal insan dan kerangka tadbir urus syariah untuk memastikan penyelesaian Islamik Fintech yang patuh syariah," katanya. 

 

Sejajar dengan perkembangan Islamik Fintech, penerbitan laporan itu juga tepat pada masanya kerana ia membuka ruang kepada inovasi yang lebih meluas termasuk platform kewangan alternatif, insurtech, blockchain dan kiriman wang. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif INCIEF, Prof. Dr. Mohd. Azmi Omar berkata, usaha membangunkan Islamik Fintech adalah amat penting terutama setelah dunia bergelut dengan pandemik COVID-19. 

 

Ini kerana katanya, Fintech mampu membantu memenuhi keperluan kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan golongan B40. 

 

"Islamik Fintech mempunyai potensi untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan berdaya mapan untuk memenuhi keperluan semua segmen dalam masyarakat," katanya. - DagangNews.com