Skip to main content

Malaysia-AS muktamadkan perjanjian hubungan percukaian dua hala 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 Julai - Kerajaan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) mengukuhkan lagi hubungan percukaian dua hala menerusi Perjanjian Intergovernmental Agreement yang telah dimuktamadkan pada 21 Julai 2021. 

 

Perjanjian tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon yang mewakili Malaysia dan Duta Besar AS ke Malaysia, Brian McFeeters, di mana berlangsung secara serentak di Putrajaya dan Kuala Lumpur, dengan kehadiran Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah. 

 

“Menerusi perjanjian ini, Malaysia menyertai 113 negara yang telah melaksanakan pelaksanaan Foreign Account Tax Compliance Act (FATCA). FATCA merupakan salah satu inisiatif yang diperkenalkan oleh AS bagi menambah baik amalan pertukaran maklumat berkaitan percukaian, khususnya melibatkan warga AS. 

 

“Dalam konteks Malaysia, inisiatif ini merupakan pelengkap kepada usaha yang dilakukan menerusi penyertaan di forum antarabangsa yang diterajui oleh Organisation for Economic and Cooperation Development (OECD) untuk terus meningkatkan ketelusan percukaian berdasarkan amalan terbaik. 

 

“Pelaksanaan FATCA merupakan kejayaan daripada hasil siri perbincangan antara kedua-dua negara, berdasarkan keperluan untuk mempunyai mekanisme yang lebih efektif bagi memudahkan pertukaran maklumat,” jelas Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Dalam ucapan Mohd Shahar, beliau menekankan bahawa selaras dengan perkembangan terkini sistem percukaian antarabangsa, penambahbaikan dalam ketelusan dan amalan pertukaran maklumat cukai antara negara memerlukan kerjasama yang lebih meluas, terutamanya bagi menangani isu pengelakan dan pelarian cukai. 

 

Sementara McFeeters dalam ucapan balas menyatakan bahawa pemuktamadan FATCA merupakan antara detik bersejarah dalam hubungan dua hala Malaysia dan AS serta menghargai usaha yang telah dilakukan oleh institusi perbankan negara berhubung aspek pematuhan yang menunjukkan kecemerlangan mereka selaku institusi bertaraf dunia. 

 

Tambah kementerian itu, perjanjian FATCA ini juga adalah sangat penting ke arah usaha Malaysia untuk mengadakan perjanjian percukaian secara bilateral yang lebih komprehensif dan akan memberi manfaat kepada pembayar cukai Malaysia dan AS. - DagangNews.com