Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi: Adakah satu Utopia? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 6 October 2021

Malaysia Negara Berpendapatan Tinggi: Adakah satu Utopia?

 

 

 

MALAYSIA menyasarkan untuk mencapai negara berpendapatan tinggi antara tahun 2024 hingga 2028 seperti yang ditetapkan dalam RMKe-12 baru-baru ini. Persoalannya mampukah Malaysia?

 

Walaupun Malaysia telah melakukan pelbagai usaha sejak beberapa dekad yang lepas dalam trajektori pembangunan transformasi ekonomi negara bagi mencapai ekonomi berpendapatan tinggi namun situasi semasa masih menjadi tanda tanya kepada sasaran ini.

 

Menilai kapasiti Malaysia oleh Bank Dunia

Kumpulan Bank Dunia dalam laporannya Aiming High – Navigating the Next Stage of Malaysia's Development menyatakan pendapatan negara kasar per kapita Malaysia sebanyak AS$11,200 (RM46,032) iaitu kekurangan AS$1,335 (RM5,487) daripada paras ambang semasa yang mentakrifkan sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

 

Berdasarkan pendapatan minimum yang ditetapkan oleh Bank Dunia bagi ekonomi berpendapatan tinggi sebanyak AS$12,696 pada tahun 2020, Malaysia perlu meningkatkan pendapatan sebanyak 20.4% lagi untuk keluar daripada status negara berpendapatan sederhana tinggi.

 

Berdasarkan pariti kuasa beli, PNK per kapita negara yang dianggarkan oleh Bank Dunia telah mencecah AS$28,780 pada tahun 2019. Keadaan ini meletakkan Malaysia dalam kumpulan 27 peratusan teratas daripada 190 negara.

 

Kemelut kemiskinan rakyat

Dalam Malaysia mengimpikan menjadi negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2024, Malaysia kini dalam kemelut garis kemiskinan. Dek kerana pandemik, golongan B40 terus terhimpit demi kelangsungan hidup.

 

Bukan setakat golongan B40, kini golongan M40 yang dahulunya adalah golongan pertengahan juga dicengkam kemelut kelangsungan hidup. Sebanyak 20% atau hampir 580,000 isi rumah daripada kumpulan M40 kini terjerumus ke dalam had pendapatan di bawah kumpulan B40.

 

Hal ini amat membimbangkan kerana dalam sasaran Malaysia mencapai negara berpendapatan tinggi, “golongan miskin” pula semakin meningkat.

 

 

volatiliti
Gambar hiasan oleh Firdaus Roslan 


 

Perlu Penstrukturan Semula Pendapatan Garis Kemiskinan

Malaysia telah menaikkan had PGK daripada RM980 kepada RM2,280. Ini mendorong Pusat Hak Asasi Manusia dan Keadilan Global, Fakulti Undang-Undang New York University, menyatakan kerajaan Malaysia mengambil langkah yang “agak berani” meningkatkan PGK dalam menetapkan garis kemiskinan berdasarkan realiti semasa.

 

Kita bukan mahu salahkan kerajaan dengan menaikkan had PGK ini yang dua kali ganda ini. Keputusan menaikkan PGK ini adalah berdasarkan kadar kemiskinan sebanyak 5.6% (405, 441 isi rumah) bagi tahun 2019.

 

Kini, adakah angka ini realistik?

Jawapannya, kerajaan perlu menstruktur semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ini.

 

Peningkatan Kemiskinan Mutlak

Alasan untuk menstruktur semula PGK ini dengan menyemak kadar semasa kemiskinan mutlak.  Status terkini kemiskinan mutlak meningkat kepada 8.4% pada tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding 5.6% pada 2019.

 

Selain itu, pada tahun 2020, pendapatan per kapita negara adalah 20.4% di bawah paras minimum ekonomi berpendapatan tinggi iaitu sebanyak AS$12,696.

 

Penstrukturan semua PGK ialah langkah yang paling utama yang kerajaan perlu lakukan. Namun, cabarannya ialah untuk mengatasi kemiskinan secara sistematik dengan menerapkan skema perlindungan sosial yang komprehensif.

 

 

volatiliti

 

 

PGK perlu bersifat setempat

Untuk menstruktur semula PGK ini, kerajaan perlu menggunakan kaedah yang berbeza dalam mengukur kemiskinan rakyat.

 

Ketiadaan pangkalan data isi rumah kemiskinan yang bersifat bersepadu dan dinamik adalah faktor yang dilihat kepada penetapan PGK ini yang “mungkin tidak realistik”.

 

Dalam usaha menstruktur PGK ini, kerajaan tidak boleh menilai situasi keseluruhan tetapi perlu bercirikan setempat. Ini kerana perbezaan atau jurang ketara kos sara hidup antara bandar dan luar bandar adalah berbeza.

 

Penyaluran maklumat yang tepat dan dinamik mengenai kemiskinan di sesuatu tempat dan perlu dikoordinasi kerajaan dan agensi yang terlibat bagi memberi gambaran yang lebih jelas mengenai keadaan kemiskinan bagi menilai PGK terbaik buat negara.

 

Kadar pengukuran kemiskinan berasaskan pelbagai dimensi yang menekankan aspek-aspek peningkatan kualiti hidup seperti aspek kesihatan, pendidikan, perumahan, taraf hidup, akses kepada maklumat, dan juga pendapatan bulanan isi rumah perlu dilakukan.

 

Penjajaran PGK dalam RMKe-12

Kerajaan juga perlu melakukan penjajaran penstrukturan semula PGK ini  dengan diadun jalinkan dengan RMKe-12 negara.

 

Pelan pembangunan lima tahun ini yang memberi tumpuan menangani isu kumpulan rentan, ketidaksamarataan wilayah, keperluan menjajarkan ekonomi negara ini dengan risiko perubahan iklim global dan menjadikan ekonomi lebih kukuh dari sudut alam sekitar perlu disejajarkan dengan penstrukturan PGK.

 

Kajian Pendapatan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) juga boleh dirangka dan dilestarikan. Dengan melihat kepada data daripada HIES & BA 2019 dan profil isi rumah 2019 yang perlu disesuaikan dengan corak taburan isi rumah bagi tahun 2020.

 

Dengan menstruktur PGK ini dengan menilai konsep PGK makanan berubah daripada keperluan minimum kalori kepada keperluan optimum minimum yang menunjukkan peningkatan kualiti barangan bakul makanan.

 

Dalam keadaan semasa, keperluan kumpulan B40, M40 dan B40 bertambah dengan mengambil kira perubahan pola perbelanjaan isi rumah, harga barangan dan perkhidmatan semasa.

 

Penetapan PGK yang perlu disejajarkan ini perlu mengambil kira kadar pengangguran dan jumlah bilangan B40 adalah menggunakan metodologi yang berbeza tetapi berkaitan.

 

Cabarannya bagi negara untuk menjajarkan PGK dengan RMKe-12 dirangka kini kerana keadaan semasa adalah tempoh yang sukar berikutan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik COVID-19 menyukarkan unjuran ekonomi memandangkan situasi yang berubah dengan pantas.

 

 

volatiliti
Gambar oleh Victor Aldabalde

 


Harus teliti

Semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan termasuk kerajaan negeri perlu merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial termasuk semakan semula kumpulan sasar di bawah seliaan dan tanggungjawab mereka.

 

Usaha ini perlu dilakukan oleh kerajaan dengan sungguh-sungguh dan menggubal dasar dan strategi secara dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin. Perkara ini perlu diseimbangkan, janganlah macam kain pelikat, tarik ke bawah nampak pusat, tarik ke atas nampak betis!

 

Perkasa “Poverty Circle”

Kitaran Kemiskinan  (Poverty Circle) yang pernah ditubuhkan oleh kerajaan perlu diperkasa bagi membincang dan merangka strategi terbaik menangani kemiskinan khususnya pasca COVID-19.

 

Anggota 'Kitaran Kemiskinan' yang dianggotai oleh wakil kerajaan, pihak swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan tokoh akademik yang diurus Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) perlu membantu kerajaan menangani kemiskinan dan pembangunan ekonomi inklusif pasca COVID-19.

 

Matlamat mencapai negara berpendapat tinggi menjelang tahun 2024 perlu dengan menyantuni masalah kemiskinan negara. Apakah ia satu utopia atau tidak, pelaksanaan baik terhadap segala perancangan – adalah jawapannya!   – DagangNews.com

 

 

 

SYAMSYUL SAMSUDIN adalah pensyarah kanan dan pelabur tegar di Bursa Malaysia yang mempunyai kepakaran dalam menganalisis kewangan syarikat dan juga banyak menulis di akhbar-akhbar utama di Malaysia berkaitan pelaburan, kewangan dan ekonomi. Kini merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi ruangan VOLATILITI setiap Rabu.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI ARTIKEL VOLATILITI

 

 

 

 

 

 

Portfolio Tags