Malaysia perlu wujudkan muzium filem nasional | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Industri Kreatif - 13 May 2022

Malaysia perlu wujudkan muzium filem nasional

 

 

MUZIUM dan filem merupakan dua perkara yang sangat dekat di hati saya. Apatah lagi bila ia melibatkan gabungan kedua-dua perkara tersebut.

 

Oleh kerana itu, muzium perfileman merupakan antara destinasi kunjungan wajib setiap kali saya ke mana-mana lokasi yang memiliki muzium seumpama itu.

 

Dari itu, saya berpeluang mengunjungi muzium-muzium perfileman di beberapa negara. Daripada lawatan tersebut, saya ingin berkongsi lawatan ke empat daripadanya, yang menurut saya mempunyai tarikan tersendiri.

 

Thai Film Museum di Bangkok, yang merupakan sebahagian daripada komponen dalam kompleks Thai Film Archive - iaitu arkib filem bagi negara Thailand.

 

Thai Film Museum ini dikatakan sebagai muzium perfileman pertama serta satu-satu seumpamanya di Thailand ketika ini.

 

Menawarkan tiga ruangan utama iaitu ruangan pameran 100 tahun sinema Thailand, ruangan Hall of Fame serta satu lagi ruangan yang mempamerkan penerbitan filem di Thailand daripada dahulu hingga kini.

 

Meskipun saya ketika itu mempunyai masalah bahasa kerana kebanyakan label pameran termasuk lawatan berpandu oleh kakitangannya adalah dalam bahasa Thailand, saya dibantu oleh alatan audio panduan pameran berbahasa Inggeris yang disediakan oleh pihak muzium.

 

Muzium ini memperkenalkan saya kepada sejarah perfileman Thailand yang sangat unik, kerana perfileman di Thailand dimulakan dan dibawa masuk ke negara itu oleh raja mereka lebih seabad yang lalu.

 


 

Thai Film Museum
Muzium Filem Thai ini terletak di Jalan Phutthamonthon Sai 5, Salaya, Phutthamonthon District, Nakhon Pathom di Bangkok.

 


 

Oleh kerana itu, sehingga kini, terdapat penggiat perfileman utama Thailand merupakan kerabat diraja, malah pihak istana juga mempunyai jabatan bagi penerbitan dan pengarkiban koleksi filem diraja. Jelas wujud hubungan yang begitu akrab antara institusi raja dengan dunia sinema mereka.

 

Walaupun pameran di muzium ini sangat sederhana, termasuklah kebanyakan pameran adalah secara manual tanpa aplikasi teknologi dan elemen interaktif, namun pengkisahan dalam pameran ini sangat menarik minat saya untuk memahami sinema Thailand – sebagai salah satu dunia sinema serta industri perfileman terbaik di Asia Tenggara.

 

Ia sangat berbeza dengan sebuah lagi muzium perfileman yang saya berpeluang kunjungi  iaitu Busan Museum of Movies di bandar raya Busan, Korea Selatan.

 

Pameran muzium ini dilihat lebih menjuruskan aplikasi teknologi dengan elemen interaktif dalam hampir keseluruhan pameran.

 

Malah, ia juga memanfaatkan teknologi secara optimum bagi mewujudkan partisipasi dan daya responsif pengunjung terhadap setiap pameran yang dipamerkan. Aplikasi teknologi semasa seperti realiti maya (VR), elemen 3D dan sebagainya dimanfaatkan sebaiknya.

 

Dengan pendekatan seumpamanya, ia seolah-olah mengambil serba sedikit pendekatan taman tema dan diadaptasi ke dalam pameran muziumnya. Muzium ini mempunyai ruangan pameran khas dan ruangan pameran tetap – dengan ketinggian bangunan keseluruhan sebanyak tujuh tingkat – tiga tingkat di bawah tanah dan empat tingkat di atas tanah.


 

Busan Museum of Movies
Pengunjung menggunakan realiti maya di Busan Museum of Movies di Busan, Korea Selatan.

 


Baharu sahaja dibuka pada Jun 2017, muzium ini dibina di kawasan Yongdusan Park, dalam daerah Jung-gu dengan kos AS$33.1 juta. Ia adalah sebahagian komitmen bandar Busan dalam mempelbagaikan usaha berteraskan perfileman di bandarnya yang diiktiraf  sebagai UNESCO City of Film.

 

Sebuah lagi muzium yang saya kunjungi dan sangat menarik pada pandangan saya adalah German Film Museum  atau nama lebih tepatnya Deutsches Filminstitut & Filmmuseum (DFF), yang terletak di Frankfurt, Jerman.

 

Sebagai sebuah negara Eropah yang mempunyai tradisi perfileman yang panjang serta apresiasi filem yang tinggi, muzium ini dilihat berjaya menggabungkan aspek interaktif teknologi terkini dengan penghayatan apresiasi tradisi serta warisan seni perfileman dalam sebuah pameran secara ideal.

 

Ia bukan sahaja berjaya memanfaatkan teknologi sebagai unsur kekaguman, tetapi juga membawa naratif penceritaan yang mendalam serta penuh inspirasi untuk membawa pengunjung untuk lebih menghayati tradisi sinema.

 

Seperti mana diketahui bahawa Eropah mempunyai kepakaran bidang permuziuman yang baik. Ini diperlihatkan dalam pameran di muzium ini. Sebahagian pamerannya yang mengguna pakai elemen interaktif, namun tidak tertakluk kepada hanya untuk membina keterujaan penonton dengan elemen terbabit, tetapi juga membantu mendukung naratif penceritaan yang cuba dibawa oleh setiap yang dipamerkan.

 

Muzium ini juga menawarkan pengisian yang lebih holistik, tidak hanya kepada pameran tetapi juga merangkumi ruangan pawagam bagi tayangan filem, program pendidikan dan advokasi dan pelbagai lagi. Kandungan pamerannya juga lebih holistik, bermula dari sejarah terciptanya filem hingga kepada inovasi teknologi dalam perfileman kini.


 

Deutsches Filminstitut & Filmmuseum
Ruang pameran di Deutsches Filminstitut & Filmmuseum, Frankfurt di Jerman.

 


Sebuah lagi muzium yang sempat saya lawati ialah di bandar Bradford, di utara England. Walaupun ia bukanlah sebuah pameran khusus mengenai filem, tetapi merangkumi elemen sains dan media, namun muzium ini juga mempunyai ruangan pameran yang khusus bagi perfileman. Muzium tersebut adalah National Science & Media Museum.

 

Sebagai negara Eropah yang mempunyai tradisi perfileman yang panjang, seperti mana di German Film Museum, muzium di Bradford ini berjaya memastikan keyakinan saya bahawa tahap apresiasi seni perfileman sangat tinggi di sini.

 

Meskipun dalam masa sama mereka sangat terkehadapan dalam aspek inovasi teknologi terkini dalam pelbagai aspek perfileman. Pameran yang ditampilkan dalam muzium lapan tingkat ini memperlihatkan mereka melihat sains dan seni dalam sebuah kerangka yang sama iaitu saling melengkapi dan memerlukan.

 

Itu semua membantu memperkayakan pengalaman dan kefahaman kepada setiap pengunjung mengenai apa sebenarnya filem dan sinema – tentang masa lalunya serta potensi masa depannya.

 

Lawatan saya ketika itu menjadi lebih bermakna kerana dipandu sendiri oleh Pengarah Bradford UNESCO City of Film iaitu Prof David Wilson, yang membantu kefahaman dan penghayatan yang lebih mendalam mengenai setiap yang dipamerkan.

 

Ketika lawatan tersebut juga, saya mendapat jemputan ke salah satu festival filem yang dianjurkan oleh pihak muzium terbabit iaitu Widescreen Weekend Film Festival  iaitu festival filem yang memfokuskan hasrat menyajikan penduduk setempat dengan tayangan pilihan filem yang menarik dan berkualiti.


 

National Science & Media Museum
National Science & Media Museum di Bradford, United Kingdom.

 

 

Selain itu, terdapat beberapa lagi muzium perfileman yang saya kunjungi yang mungkin dapat saya catatkan dalam penulisan pada masa hadapan.

 

Melawat ke muzium-muzium terbabit, pastinya sesuai yang saya tidak dapat elak dari berfikir adalah membayangkan bahawa Malaysia juga harus memiliki muzium perfileman seumpamanya pada suatu hari ini.


 

Museum of Moving Image
Peralatan kamera yang dipamerkan di Museum of Moving Image, Finas.

 


Usaha pihak FINAS dengan memulakan sebuah ruangan pameran yang dikenali sebagai `Museum of Moving Image` (MOMI) di pejabat mereka di Petaling Jaya boleh dianggap sebagai satu permulaan yang sangat baik.

 

Namun kita berharap agar suatu hari nanti ia mampu menjadi sebuah muzium lengkap dalam erti kata yang sebenar. – DagangNews.com

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF

Portfolio Tags