Malaysia peroleh kebenaran Mahkamah Rayuan Paris gantung penguatkuasaan perintah sita aset oleh Kesultanan Sulu | DagangNews Skip to main content

Malaysia peroleh kebenaran Mahkamah Rayuan Paris gantung penguatkuasaan perintah sita aset oleh Kesultanan Sulu

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Oleh JOHARDY IBRAHIM

PUTRAJAYA 13 Julai - Mahkamah Rayuan Paris semalam membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, berikutan perintah penggantungan itu, Final Award yang diputuskan penimbang tara Sepanyol, Dr Gonzalo Stampa bertarikh 28 Februari 2022 tidak boleh dikuatkuasakan di mana-mana negara sehingga Mahkamah Paris membuat keputusan muktamad berkenaan permohonan pembatalan Final Award dibuat kerajaan.

 

Menurut beliau, kerajaan Malaysia sedang membuat persiapan yang rapi untuk pendengaran bagi pembatalan Final Award yang mana tarikh pendengarannya belum ditetapkan.

 

Katanya, perintah penggantungan itu hasil pelbagai tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia bermula dari tuntutan itu yang difailkan bagi menamatkan segala tuntutan dan memastikan agar kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara.

 

"Kerajaan Malaysia akan terus mengambil semua langkah yang sewajarnya termasuk tindakan perundangan untuk menamatkan segala tuntutan waris Sultan Sulu dan memastikan kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

 

Wan Junaidi berkata, Final Award bertarikh 28 Februari 2022 dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa (perintah penggantungan) berikutan tuntutan oleh pihak-pihak yang mendakwa sebagai waris dan 'successors-in-interest' kepada Sultan Jamalul Kiram II melalui satu prosiding timbang tara antarabangsa di Madrid, Sepanyol.

 

Terdahulu, PETRONAS dalam kenyataan malam tadi, memaklumkan sudah melupuskan dua asetnya di Azerbaijan dan hasilnya sudah dipulangkan.


 

Dr Gonzalo Stampa
                                           Dr Gonzalo Stampa

 


Tidak iktiraf tuntutan Sultan Sulu

Wan Junaidi menegaskan, Kerajaan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan waris Sultan Sulu dan tidak pernah mengetepikan kekebalan kedaulatannya sebagai sebuah negara berdaulat.

 

Malaysia sebelum ini mengenepikan keputusan Mahkamah Arbitrasi Paris, Perancis, yang menuntut Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion kepada pihak yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu.

 

Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan bersama ketika itu juga menjelaskan, perkara dalam tuntutan itu bukan bersifat komersial dan tidak boleh dibawa ke prosiding timbang tara, malah Perjanjian 1878 sendiri tidak mengandungi apa-apa peruntukan timbang tara.

 

"Kerajaan Malaysia ingin menekankan bahawa identiti pihak yang mendakwa waris yang melakukan tuntutan itu juga diragui dan belum disahkan," kata kenyataan bersama itu.

 

Wan Junaidi menjelaskan, semalam dua syarikat subsidiari Petronas di Luxembourg dimaklumkan mengenai penguatkuasaan Final Award melalui penyerahan notis yang dikeluarkan oleh Mahkamah Luxembourg.

 

"Petronas sebagai sebuah syarikat akan mengambil tindakan perundangan yang perlu untuk mempertahankan kedudukannya di bawah undang-undang," katanya.

 

Katanya, Kerajaan Malaysia sudah mengambil tindakan perundangan di Madrid, Sepanyol termasuk membuat permohonan bagi pengiktirafan dan penguatkuasaan perintah deklarasi dan injunksi bagi memberhentikan prosiding timbang tara di Sepanyol dengan merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Sabah pada 14 Januari 2020, permohonan bagi membatalkan pelantikan penimbang tara dan permohonan untuk mengenepikan 'Partial Award on Jurisdiction' bertarikh 25 Mei 2020 yang dikeluarkan Dr Stampa.

 

"Dengan tindakan perundangan yang diambil Kerajaan Malaysia, Mahkamah Tinggi Madrid, Sepanyol, pada 29 Jun 2021 telah membatalkan pelantikan Dr Stampa dan memutuskan semua prosiding timbang tara serta apa-apa keputusan Dr Stampa, termasuk Final Award adalah tidak sah, terbatal dan tidak boleh dikuatkuasakan di bawah undang-undang.

 

"Dr Stampa tidak menghormati dan tidak mempedulikan keputusan mahkamah di Madrid dan sebaliknya memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris.

 

"Pada 29 September 2021, pihak penuntut telah memperoleh Perintah Exequatur secara ex-parte (sebelah pihak) daripada Tribunal de Grande Instance di Paris, yang telah mengiktiraf 'Partial Award' yang dikeluarkan pada 25 Mei 2021 dan dengan itu membenarkan Dr Stampa memindahkan tempat prosiding timbang tara ke Paris," katanya.


 

Paris Court of Appeal
                                                               Mahkamah Rayuan Paris

 


Rentetan itu, jelas beliau Kerajaan Malaysia mencabar Perintah Exequatur yang diperoleh secara ex-parte itu dan Kerajaan Malaysia berjaya memperoleh perintah penggantungan bertarikh 16 Disember 2021 daripada First President of the Paris Court of Appeal.

 

"Ini bermakna pihak penuntut terhalang daripada bergantung pada Perintah Exequatur yang diperoleh pada 29 September 2021. Bertentangan dan bercanggahan dengan perintah penggantungan itu, penuntut mengekalkan kedudukan dan pendirian bahawa Perintah Exequatur itu berkuat kuasa dan Final Award telah dikeluarkan di tempat timbang tara di Paris, Perancis," katanya.

 

Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Malaysia juga telah memfailkan prosiding jenayah terhadap Dr Stampa bagi kesalahan menghina mahkamah di Mahkamah Jenayah di Madrid dan prosiding itu masih berjalan. - DagangNews.com