Malaysia rugi besar Facebook pilih negara jiran pasang kabel internet | DagangNews Skip to main content

Malaysia rugi besar Facebook pilih negara jiran pasang kabel internet

 

KUALA LUMPUR 2 April - Langkah Facebook untuk memasang kabel dasar laut di negara jiran iaitu Indonesia dan Singapura menandakan kerugian besar buat Malaysia, disebabkan oleh isu kabotaj.

 

Ini berbeza dengan hasrat Malaysia di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) yang menyasarkan pemerolehan pemasangan kabel paling banyak berbanding negara Asia Tenggara menjelang 2025.

 

Sehubungan itu, Malaysia Internet Exchange (MyIX) menggesa kerajaan untuk melaksanakan semula dasar pengecualian kabotaj kepada kapal-kapal asing yang melakukan penyelenggaraan kabel bawah laut. 

 

Gesaan itu dibuat bagi mengelakkan risiko kehilangan peluang pelaburan langsung asing (FDI) ke negara-negara jiran, jelas Pengerusi MyIX, Chiew Kok Hin.

 

Chiew Kok Hin
Chiew Kok Hin

 

“Syarikat-syarikat teknologi gergasi memiliki kabel itu, dan bagi pandangan saya, ini hak mereka untuk memilih siapa yang mereka mahu memberikan perkhidmatan dan menyelenggarakan aset. 

 

“Saya bersetuju dengan pandangan syarikat teknologi gergasi ini bahawa kebanyakan negara pantai tidak menganggap pemasangan atau pembaikan kabel bawah laut sebagai kabotaj.

 

“Kebanyakan negara mentafsirkan kabotaj ini sebagai pengangkutan kargo atau penumpang bagi dua titik pantai domestik. Dalam hal ini, kabel dan bahan penyelenggaraan diatur, bukannya diangkut ke pelabuhan lain,” katanya menurut laporan Soya Cincau.

 

Sebelum ini, Facebook mengumumkan pemasangan dua kabel penting yang akan menghubungkan Singapura, Indonesia dan Amerika Utara sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk menyediakan akses internet lebih pantas.

 

Kabel Echo dan Bifrost itu dikatakan akan menghubungkan Asia Pasifik dan Amerika Utara dengan kapasiti, kelebihan dan kebolehpercayaan internet yang sangat diperlukan.

 

Bagi Kok Hin, MyDigital merupakan langkah strategik yang tepat untuk mengembangkan ekonomi digital negara dan mengunjurkan sumbangan sehingga 26% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu.

 

Namun, beliau mengingatkan bahawa Malaysia memerlukan infrastruktur internet yang kukuh memandangkan kegunaan internet akan melonjak dalam beberapa tahun akan datang.

 

Walaupun Malaysia menyasarkan jumlah pemasangan kabel bawah laut tertinggi di rantau ini, namun katanya, dasar kabotaj berkaitan penyelenggaraan dan pembaikan kabel tidak sejajar dengan kerangka kerja MyDigital.

 

Disebabkan itu, beliau melihat pemasangan kabel oleh Facebook di kedua-dua negara jiran menandakan kerugian besar buat Malaysia memandangkan negara ini mempunyai kekuatan tersendiri dalam infrastruktur internet kerana lokasi strategik, mudah diakses, penduduk yang boleh bertutur dalam bahasa Inggeris serta kos kemasukan lebih rendah.

 

Pada beberapa bulan lalu, terdapat syarikat teknologi gergasi termasuk Google, Facebook, Microsoft dan MyIX  dilaporkan meluahkan kebimbangan mereka terhadap keputusan kerajaan untuk menarik pengecualian kabotaj kepada kapal asing yang melakukan pembaikan kabel bawah laut.

 

Pengecualian kabotaj itu diperkenalkan oleh Menteri Pengangkutan yang terdahulu, Anthony Loke sebelum ditarik balik oleh pemegang jawatan itu ketika ini, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong. - DagangNews.com