Skip to main content
DagangNews.com
Kolum Apa Kata Media Cina - 2 April 2022

MALAYSIA-SINGAPURA: BERANIKAN LANGKAH

Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao, 31 Mac 2022

 

 

 

MULAI 1 April 2022, kita menyambut berita gembira dengan pembukaan sepenuhnya sempadan darat Malaysia-Singapura selepas dua tahun penutupan berikutan penularan wabak COVID-19 pada 18 Mac 2020.

 

Kali ini tidak perlu lagi membuat saringan ujian COVID-19 dan tiada lagi kuarantin, terpakai kepada semua jenis pengangkutan darat termasuk bas jarak jauh, teksi, e-hailing dan kenderaan persendirian.

 

Sudah tentu berita baik yang ditunggu-tunggu bagi rakyat Malaysia yang terkandas di Singapura selama lebih dua tahun, akhirnya dapat berjumpa semula dengan keluarga.

 

Pemilihan tarikh pembukaan sempadan ini secara kebetulan semasa perayaan Qing Ming yang jatuh pada 5 April.

 

Dijangka ramai rakyat yang bekerja di Singapura mengambil kesempatan balik untuk memperingati dan memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

 

 

apa

 

 

Selain rakyat yang terkandas di Singapura, peniaga-peniaga di kawasan Johor Bahru turut menantikan pembukaan semula sempadan ini.

 

Sejak dua tahun penutupan, banyak pusat membeli-belah dan kedai menjadi malap dan lesu tanpa pelancong-pelancong daripada Singapura.

 

Malah ada kedai yang terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mampu menampung kerugian.

 

Dengan pembukaan semula, bermakna pelancong dan pengguna Singapura boleh memasuki Johor Bahru dengan bebas untuk membeli-belah dan berbelanja.

 

Langkah membuka semula negara dan mengaktifkan pasaran adalah satu perkara yang baik, tetapi premis perniagaan perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang penularan.

 

Apabila pintu terbuka luas, pelancong akan kembali dan pelbagai perdagangan rentas sempadan akan kembali normal secara beransur-ansur, ekonomi domestik akan dirangsang dan pasaran akan menjadi lebih aktif.

 

Sektor pelancongan khususnya, telah mengalami kemerosotan yang teruk. Walaupun mustahil untuk mencapai semula kegemilangan, sekurang-kurangnya dapat “menyembuh luka” industri ini dan mula menyemarakkannya kembali secara berperingkat.

 

Teh Kee Sin
                                              Teh Kee Sin

 

Dalam hal ini, Penasihat Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Johor Selatan, Teh Kee Sin berpendapat walaupun pembukaan semula  Malaysia-Singapura adalah baik.

 

Tetapi kata beliau, timbul kebimbangan lain, kemungkinan lebih ramai rakyat Malaysia merentas ke Singapura untuk mencari kerja kerana mereka telah kehilangan kerja semasa pandemik, dan akhirnya industri tempatan pula kekurangan tenaga kerja.

 

Peniaga-peniaga di Johor gembira kerana sejak mula-mula pembukaan semula Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL), perniagaan mereka mula kembali rancak.

 

Bagaimanapun mereka percaya jumlah pelancong Singapura yang masuk mungkin tidak ramai memandangkan keadaan wabak di Malaysia dan Singapura masih agak teruk.

 

Oleh demikian, ekonomi di Johor Bahru mungkin mengambil masa setahun atau dua tahun untuk kembali makmur.

 

Keputusan untuk membuka sempadan memerlukan pengorbanan dan kos, tetapi itulah yang dimaksudkan dengan “hidup bersama virus”.

 

 

apa

 

 

Berbanding dengan penutupan negara dan bandar yang tiada berkesudahan, hidup bersama virus adalah cara yang betul untuk melawan wabak dengan melaksanakan strategi “cegah dan kawal”.

 

Ketika negara sedang menuju ke arah pemulihan, membuka sempadan ibarat menyuntik vaksin untuk ekonomi Malaysia dan ia pasti memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

 

Semakin banyak negara di seluruh dunia telah membuka pintu mereka dan ini adalah satu ujian.

 

Sama ada baik atau buruk, ia adalah sesuatu yang boleh kita jadikan rujukan. Pintu negara sudah dibuka, ayuh kita beranikan langkah itu!  - DagangNews.com

 

 

Artikel-artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 31 Mac 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. - DagangNews.com

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA

Portfolio Tags