Malaysia, Singapura teruskan projek pengangkutan RTS | DagangNews Skip to main content

Malaysia, Singapura teruskan projek pengangkutan RTS

DARI kiri, WEE KA SIONG serta Muhyiddin Yassin bersama-sama wakil dari Singapura, Lee Hsien Loong dan Ong Ye Kung. - Gambar oleh Facebook Lee Hsien Loong

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Malaysia dan Singapura secara rasminya akan meneruskan projek perkhidmatan pengangkutan melibatkan kedua-dua negara, Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada penghujung 2026.

Sehubungan itu, kedua-dua negara pada pagi ini bertemu di atas Tambak Johor, Johor Bahru sebagai simbolik kepada persetujuan berkenaan. 

Pertemuan ringkas itu dihadiri oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dengan wakil dari Singapura, Perdana Menterinya, Lee Hsien Loong dan Menteri Pengangkutan Singapura, Ong Ye Kung.

RTS yang telah ditangguh sejak April tahun lalu akan menghubungkan antara Tambak Johor dan juga Wooklands di Singapura. 

Menerusi kenyataan bersama Malaysia dan Singapura, kedua-dua negara bersetuju melantik syarikat pembinaan masing-masing untuk membina, memiliki, dan menyelenggara infrastruktur sivil serta stesen, sehingga ke sempadan antarabangsa.

Kapasiti bagi perkhidmatan transit itu kekal kepada 10,000 penumpang sejam, bagi setiap arah.

Laluan itu juga tidak akan lagi menggunakan depot yang ada di Singapura, sebaliknya depot baharu yang akan dibina di Johor Bahru.

Selain itu, laluan RTS akan melibatkan lokasi kastam, imigresen dan kemudahan kuarantin serta penumpang hanya dibenarkan masuk sempadan selepas melepasi kesemua peraturan yang ditetapkan. 

Bagi kadar tambang pula, ia akan ditetapkan oleh syarikat pengendalian masing-masing dan akan diumumkan apabila laluan berkenaan sedia untuk dibuka. 

Projek berkenaan dijangka menelan kos sebanyak RM3.7 bilion meliputi spesifikasi yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara. - DagangNews.com