Malaysia tekad anjur APEC 2020 walaupun beza zon waktu | DagangNews Skip to main content

Malaysia tekad anjur APEC 2020 walaupun beza zon waktu

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Walaupun perbezaan zon waktu antara kesemua 21 negara anggota APEC 2020, namun keadaan itu tidak menghalang Malaysia sebagai tuan rumah untuk julung kalinya menganjurkannya secara dalam talian. 

Malah, komitmen yang ditonjolkan Malaysia bakal mengukir sebuah sejarah sebagai ekonomi APEC pertama yang melaksanakan persidangan tersebut dalam talian.

 

apec

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sehingga kini Malaysia telah melaksanakan dan menyelaraskan tanggungjawabnya dengan baik. 

“Ini bukan sahaja mengangkat profil Malaysia sebagai tuan rumah, malah menjadikan negara lebih dihormati serta dihargai dalam kalangan ekonomi APEC. 

“Ini termasuk program dan inisiatif APEC pada peringkat Kumpulan Kerja Pegawai Kanan APEC, Persidangan di Peringkat Menteri sehingga Sidang Kemuncak APEC iaitu Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC,” katanya menurut laporan Bernama.

Malaysia pertama kali menganjurkan APEC pada tahun 1998. 

 

apec

 

Sebagai tuan rumah, Malaysia bertanggungjawab untuk merancang format digital optimum yang boleh diguna pakai oleh semua ekonomi APEC, terutamanya di bawah norma baharu disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang menyekat pergerakan.

Namun, tidak dinafikan bahawa negara ini turut berdepan cabaran keupayaan teknologi di mana tidak semua teknologi terkini boleh digunakan oleh ekonomi APEC yang mempunyai kawal selia keselamatan siber serta keupayaan teknologi berbeza. 

“Bagaimanapun, kesemua cabaran teknikal ini berjaya diatasi dan Malaysia boleh berbangga dengan memikul tanggungjawab untuk menyusun spesifikasi serta peraturan teknikal dalam anjuran pertemuan APEC secara dalam talian,” kata Mohamed Azmin.

Tambah beliau, APEC 2020 menyaksikan adaptasi konsep Kemakmuran Bersama bersesuaian temanya,  'Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Perkongsian Kemakmuran'.

 

apec

 

“Menerusi konsep ini, Malaysia telah mengangkat APEC untuk lebih dikenali dengan perbincangan yang menggalakkan, bukan sahaja meliputi agenda perdagangan dan pelaburan biasa, malah menumpukan manfaat sosio ekonomi dan menterjemahkannya ke dalam format yang mudah difahami oleh rakyat.

“Konsep ini menekankan keperluan untuk menangani isu ketidaksamarataan agihan kekayaan antara ekonomi APEC,” jelas Mohamed Azmin. 

Katanya, pendekatan yang perlu diterap pada hari ini bukan sahaja mengenai fahaman perlindungan, tetapi pengukuhan kerjasama antara ekonomi APEC di samping saling membantu. 

Ini termasuk konteks vaksin COVID-19 yang perlu mudah diakses oleh kesemua negara yang memerlukan, tambah Mohamed Azmin. - DagangNews.com

 

logo apec