Malaysia terbit Sukuk Kelestarian berdaulat dalam dolar AS pertama di dunia | DagangNews Skip to main content

Malaysia terbit Sukuk Kelestarian berdaulat dalam dolar AS pertama di dunia

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 22 April - Malaysia berjaya menetapkan harga bagi terbitan sukuk berjumlah AS$800 juta dengan 10 tahun tempoh matang, yang merupakan Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

 

Selain itu, kerajaan turut menerbitkan sukuk bertempoh matang 30 tahun berjumlah AS$500 juta yang mana kedua-dua terbitan sukuk ini memperoleh lebihan langganan sebanyak 6.4 kali.

 

Kedua-dua tranche tersebut telah mendapat penarafan A3 oleh Moody's Investors Service dan A- oleh S&P Global Ratings, menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini. 

 

Berikutan permintaan yang amat menggalakkan, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan saiz terbitan asal daripada AS$1 bilion kepada AS$1.3 bilion. 

 

Permintaan yang tinggi ini juga memberikan kadar hasil dan spread terendah bagi terbitan sukuk berdenominasi dolar AS oleh Malaysia dengan tranche 10 tahun ditetapkan pada 2.070% (T+50 mata asas) dan tranche 30 tahun pada 3.075% (T+80 mata asas). 

 

Malah, permintaan ini mencerminkan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun lalu.

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, terbitan ini bukan sahaja mengungguli pelbagai aspek malah merupakan sebuah pengiktirafan tinggi ke atas keupayaan inovatif industri kewangan Islam Malaysia dalam menstruktur sukuk bagi memajukan polisi berpaksikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) untuk mencapai sasaran Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

 

“Kami amat berbesar hati dengan keyakinan pelabur atas terbitan sulung Sukuk Kelestarian yang menggambarkan kepercayaan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia dan prospek pertumbuhan yang kukuh," katanya. 

 

Terbitan sulung Sukuk Kelestarian Malaysia dalam dolar AS merupakan sukuk pertama di dunia yang diterbitkan oleh sesebuah negara atau kerajaan. 

 

Penerimaan terbitan ini akan disalurkan kepada projek sosial dan mesra alam yang menepati SDG oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). 

 

Terbitan ini membolehkan kerajaan memenuhi komitmen sebagai sebuah negara bertanggungjawab, selaras dengan status sebagai penandatangan dalam Perjanjian Paris, di samping menggiatkan usaha meningkatkan kesejahteraan sosio ekonomi rakyatnya. 

 

Ini turut membuktikan usaha kerajaan dalam menangani kesan perubahan iklim serta menggiatkan peralihan ke arah ekonomi yang lebih berdaya tahan dan inklusif sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

 

Sukuk ini juga unik kerana aset sandarannya adalah aset lestari iaitu baucar yang mewakili hak perjalanan rangkaian pengangkutan awam Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan KL Monorail. 

 

Ia merupakan terbitan berdaulat pertama yang menggunakan aset sandaran seumpama ini, lantas menjadi penanda aras baharu selain menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global serta memperkukuh kedudukan negara sebagai pasaran sukuk terbesar di dunia.

 

Sukuk Kelestarian ini diterbitkan menerusi syarikat bertujuan khas, Malaysia Wakala Sukuk Berhad dan berasaskan Rangka Kerja Sukuk SDG Kerajaan Malaysia yang baru diwujudkan. 

 

Rangka Kerja ini telah dinilai oleh Sustainalytics1, yang mengiktirafkannya sejajar dengan empat komponen teras Social Bond Principles 2020 (SBP), Green Bond Principles 2018 (GBP) dan ASEAN Sustainability Bond Standards 2018 (ASEAN SUS). 

 

Program jelajah secara maya yang meliputi pelabur Asia, Timur Tengah, Eropah dan AS telah berjaya menarik minat pelbagai segmen pelabur. 

 

Pengagihan sukuk ini telah dibuat secara menyeluruh dengan tranche 10 tahun diagihkan sebanyak 55% kepada pelabur Asia, 33% kepada pelabur Eropah, Timur Tengah dan Afrika serta 12% kepada pelabur AS. 

 

Sementara itu, tranche 30 tahun pula diagihkan sebanyak 46% kepada pelabur Asia, 33% kepada pelabur Eropah, Timur Tengah dan Afrika dan 21% kepada pelabur AS.

 

Sebanyak 67% daripada tranche 10 tahun telah diagihkan kepada pengurus dana dan syarikat insurans, 18% kepada bank pusat dan kerajaan, 14% kepada bank-bank dan 1% kepada pelabur lain. 

 

Bagi tranche 30 tahun pula, sebanyak 83% telah diagihkan kepada pengurus dana, 10% kepada bank-bank, 4% kepada bank pusat dan kerajaan serta 3% kepada pelabur lain.

 

CIMB, HSBC, dan J.P. Morgan berperanan sebagai Joint Bookrunners dan Joint Lead Managers bagi terbitan ini.

 

Selain itu, HSBC Amanah Malaysia dan J.P. Morgan merupakan Ejen Penstrukturan SDG. Struktur Syariah pula telah diluluskan oleh Board Shariah Committee CIMB Islamic Bank Berhad dan Global Shariah Supervisory Committee HSBC. - DagangNews.com