Skip to main content

Malaysia terbitkan banyak kajian, tapi tiada penambahan kualiti - Bank Dunia

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Sepanjang beberapa tahun lalu, Malaysia telah menyaksikan jumlah terbitan penyelidikan saintifik yang berkembang pesat, tetapi tanpa peningkatan kualiti, kata Bank Dunia. 

 

Memetik data oleh Elsevier-Scopus yang merupakan pangkalan data abstrak dan kutipan literatur terbesar dunia mendapati pengeluaran saintifik daripada Malaysia meningkat 4.5 kali ganda antara 2008 dan 2018. 

 

Bagaimanapun, kualiti kajiannya seperti digambarkan dalam indeks impak kutipan (citation) terbitan saintifik itu kekal rendah berbanding negara-negara berpendapatan tinggi lain. 

 

Dalam masa sama, perbelanjaan pengukuhan kajian juga kian menurun daripada kadar tertinggi pada 2016 yang mencatatkan 1.44% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). 

 

Dalam kajian “Assessing the Effectiveness of Public Research Institutions: Fostering Knowledge Linkages and Transferring Technology in Malaysia”  oleh Bank Dunia, ia mendapati terdapat pelbagai usaha boleh dilaksanakan Malaysia memandangkan negara ini beralih ke liga negara berpendapatan tinggi seperti Singapura, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Perancis serta Amerika Syarikat (AS). 

 

“Cabaran utama yang dihadapi Malaysia ketika ini adalah bagaimana untuk mempercepat peralihan ke model pertumbuhan berasaskan inovasi dan dasar serta institusi yang dapat menggalakkan inovasi, adaptasi teknologi serta komersial kajian secara berkesan,” kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaludin yang melancarkan laporan itu. 

 

KJ
Khairy Jamaludin

 

“Laporan baharu oleh Bank Dunia ini menyeru kerjasama antara pemain industri sains dan teknologi di Malaysia, seiring MOSTI untuk meningkatkan kualiti serta hasil ekosistem kajian di Malaysia," tambah beliau.

 

Laporan oleh Bank Dunia itu menunjukkan sokongan yang mengukuh untuk organisasi kajian awam dan universiti penting untuk merancakkan pertumbuhan dalam mengharungi krisis global semasa selain mencapai inspirasi Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi. 

 

Dalam masa sama, perubahan dasar yang dibuat dalam belanjawan berdasarkan prestasi telah menyaksikan peningkatan penerbitan dan paten serta kolaborasi dengan industri.

 

Bagaimanapun, terdapat perkembangan kecil dalam hasil komersial penyelidikan dan aktiviti peralihan teknologi daripada organisasi penyelidikan kepada industri. 

 

Situasi itu telah menyebabkan penyelarasan yang lemah untuk mempercepat dan menggalakkan komersial kajian serta peralihan pengetahuan dan teknologi baharu. 

 

Wakil dan Ketua Negara Malaysia Kumpulan Bank Dunia, Firas Raad berkata, peralihan kepada model pertumbuhan berasaskan inovasi lebih mendesak dalam konteks ketidaktentuan global ketika ini.

 

“Dalam konteks yang sukar ini, peningkatan pelaburan swasta yang berterusan ditambah lonjakan produktiviti penting untuk memastikan sebuah lintasan pertumbuhan ekonomi yang mampan, membolehkan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi,” kata Firas. 

 

Antara cadangan yang dilontarkan laporan itu kepada Malaysia adalah keperluan segera untuk penyelarasan lebih besar serta perancangan strategik berjangka masa panjang di seluruh ekosistem penyelidikan dan inovasi di Malaysia.  - DagangNews.com