Malaysian Genomics ambil alih 51% kepentingan dalam Aquahealth | DagangNews Skip to main content

Malaysian Genomics ambil alih 51% kepentingan dalam Aquahealth

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jun - Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (Malaysian Genomics) hari ini mengumumkan bahawa kumpulan itu memperoleh 51% kepentingan dalam Aquahealth Sdn Bhd (Aquahealth), pengendali dialisis buah pinggang dari Rinani Renal Berhad.

 

Aquahealth sedang menubuhkan pusat dialisis buah pinggang di Gombak, Selangor, dengan lesen untuk mengendalikan pusat itu dimiliki Dewan Perniagaan Islam Antarabangsa Malaysia. 

 

Dengan pengambilalihan pegangan itu, Malaysian Genomics, melalui anak syarikat milik penuhnya, MGRC Healthcare Sdn Bhd (MGRC Healthcare), kini akan menjadi pengendali pusat dialisis itu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Genomics, Sasha Nordin berkata, ia akan menjadi yang pertama daripada banyak pusat di seluruh negara yang akan didorong oleh model penjagaan buah pinggang yang diperibadikan dengan menyepadukan dialisis dengan pengurusan pemakanan, perubahan gaya hidup, dan juga ujian genetik pesakit dan ahli keluarga terdekat mereka. 

 

Beliau berkata, pendekatan perintis ini akan memberi tumpuan kepada membawa inovasi dalam penyampaian perkhidmatan untuk meningkatkan kehidupan pesakit dengan penyakit buah pinggang kronik.

 

“Memperluas peringkat hiliran kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, melalui anak syarikat kami MGRC Healthcare, merupakan langkah penting dalam pertumbuhan Malaysian Genomics sebagai kumpulan penjagaan kesihatan pakar yang pelbagai. 

 

"Pemerolehan kepentingan Aquahealth adalah sebahagian daripada strategi kumpulan kami untuk mendapatkan portfolio pelbagai aset pertambahan pendapatan di seluruh Asia Tenggara yang akan, seterusnya, memanfaatkan dan mendapat manfaat daripada pengetahuan dan pengalaman genomik dan biofarmaseutikal kami yang dibangunkan sejak 18 tahun lalu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

genomics
Sasha Nordin

 

 

Menurut laporan Pengurusan Penyakit Buah Pinggang Kronik Kementerian Kesihatan, bilangan rakyat Malaysia yang menghidap penyakit buah pinggang diunjurkan meningkat dengan ketara pada masa hadapan terutamanya disebabkan oleh kelaziman diabetes, hipertensi dan populasi yang semakin tua.

 

Pada 13.2% setahun, Malaysia mempunyai kadar pertumbuhan tahunan penyakit buah pinggang kronik kedua tertinggi di dunia.

 

Pengerusi Dewan Perniagaan Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Suhaini Kadiman berkata, ribuan pesakit buah pinggang berada dalam senarai menunggu untuk rawatan dialisis dan pusat baharu diperlukan segera. 

 

"Kami mengalu-alukan minat MGRC Healthcare untuk bekerjasama dengan kami untuk mengendalikan pusat di Gombak, dan kami mengharapkan inovasi yang akan mereka sumbangkan untuk meningkatkan kehidupan pesakit dialisis buah pinggang," katanya.

 

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyatakan terdapat lebih 40,000 pesakit buah pinggang di Malaysia, dengan lebih 8,000 pesakit baharu didiagnosis setiap tahun sejak 2018. - DagangNews.com