KUALA LUMPUR 6 Sept - Syarikat penerbangan Malindo Air menawarkan enam penerbangan setiap hari ke Langkawi susulan pembukaan semula sektor pelancongan secara gelembung perjalanan ke pulau itu, bermula 16 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Kapten Mushafiz Mustafa Bakri, berkata lima daripada penerbangan itu adalah dari Lapangan Terbang Suktan Abdul Aziz Shah atau dikenali sebagai Subang Skypark dan satu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sehingga kini, Malindo Air beroperasi secara dua penerbangan harian antara Langkawi dan Subang Skypark yang menjadi pilihan bagi perjalanan domestik.
"Sempena pembukaan semula Langkawi khusus buat individu yang sudah lengkap divaksin selain sambutan Hari Malaysia pada 16 September, Malindo Air menawarkan 15 kilogram (kg) percuma bagasi.
"Ia diberikan kepada semua pemegang tiket 'Super Saver' yang melakukan perjalanan dengan semua penerbangan kami," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mushafiz berkata, 2021 adalah tahun yang mencabar buat industri penerbangan namun keadaan kini disifatkan semakin baik dan pembukaan semula Langkawi sangat bernilai bagi memajukan semula industri penerbangan dan pelancongan yang terjejas teruk.
Katanya, pihaknya berharap pembukaan semula ini akan memberi nafas baharu buat semua pihak yang berkenaan.
"Malindo Air akan bekerjasama dengan kerajaan, Lembaga Pembangunan Langkawi dan Tourism Malaysia untuk memastikan inisiatif pelancongan ini berterusan dengan kaedah selamat dan berkualiti.
"Kami juga memastikan semua kakitangan kami lengkap divaksin untuk mewujudkan suasana yang lebih selamat kepada orang ramai dan pelanggan," katanya.
Beliau berkata, perjalanan dalam tempoh COVID-19 dijangka menjadi lebih kompleks di mana penumpang masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dengan sekatan tertentu yang masih perlu diguna pakai. - DagangNews.com