MAMPU raih dua anugerah ICT di peringkat antarabangsa | DagangNews Skip to main content

MAMPU raih dua anugerah ICT di peringkat antarabangsa


PUTRAJAYA11 Sept.  – Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) meraih Champion Top 5 bagi dua Kategori Information and Communication Infrastructure dan Kategori Enabling Environment melalui dua inisiatifnya iaitu MyGovNet dan DDMS 2.0 di World Summit on the Information Society, Geneva, Switzerland.

World Summit on the Information Society (WSIS) merupakan acara tahunan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi di dunia. Persidangan ini bertujuan untuk memberi pengiktirafan ke atas inisiatif-inisiatif bagi Kerajaan atau organisasi yang memanfaatkan penggunaan ICT dalam mendokong pembangunan yang mampan.

Persidangan ini dianjurkan oleh International Telecommunication Union (ITU), United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO), United Nations Development Programme (UNDP) dan United Nations Conference on Trade and Development (UNCTAD).

Tema WSIS bagi tahun ini adalah Fostering Digital Transformation and Global Partnerships: WSIS Action Lines for Achieving Sustainable Development Goals (SDGs) dan diadakan secara langsung melalui video conferencing dari Geneva, Switzerland.


Ketua Pengarah MAMPU, Datuk Dr Yusof Ismail berkata, dengan pencapaian dan pengiktirafan seperti ini, diharapkan kedudukan Malaysia dalam E-Government Development Index (EGDI) akan terus meningkat dengan diterajui oleh MAMPU dalam usaha pendigitalan perkhidmatan Kerajaan.

 

mampu
Dr. Yusof Ismail (tengah), Dr. Mohd Bakhari Ismail dan Azih Yusof (kanan) bersama-sama para pasukan projek meraikan kejayaan meraih kedudukan sebagai Champion Top 5 dalam WSIS.
 

Menurutnya, MyGov*Net merupakan Rangkaian Telekomunikasi Bersepadu Kerajaan (Government Integrated Telecommunication Network) yang diuruskan secara berpusat bagi menyokong sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

Katanya, MyGov*Net menyediakan satu platform rangkaian bagi membolehkan capaian kepada aplikasi-aplikasi Kerajaan Elektronik, aplikasi dalaman Agensi atau Intranet dan capaian ke Internet.

``Projek ini mendokong SDG 9 iaitu Industry, Innovation and Infrastructure dengan penyampaian perkhidmatan mencapai sehingga 11,344 buah pejabat kerajaan termasuk bandar, luar bandar dan kawasan pedalaman,'' katanya dalam kenyataan di sini selepas meraikan pencapaian MAMPU itu semalam.

Turut meraikan kejayaan bersama pasukan projek itu ialah Timbalan Ketua Pengarah TPP MAMPU,  Dr. Mohd Bakhari Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah ICT MAMPU, Aziz Yusof (kanan).

 Dr Yusof berkata, Digital Document Management System (DDMS) 2.0 merupakan satu sistem pengurusan rekod elektronik kerajaan yang membolehkan semua rekod kerajaan ditawan (captured) dan diakses melalui internet, di mana-mana sahaja 24 jam sehari.

Sistem ini ujar beliau, membolehkan pengurusan rekod kerajaan sentiasa berada dalam keadaan tersedia dan efisien. Sehingga hari ini, sebanyak 179 agensi dengan pengguna seramai 42,512 orang pengguna telah menggunakan sistem ini secara sepenuhnya dan dijangka akan mencapai sebanyak 500 agensi pada tahun 2025. - DagangNews.com

 



 

 

 

 

 

 

 

 

DATO’ DR. YUSOF BIN ISMAIL

Ketua Pengarah

Unit Pemodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)

Jabatan Perdana Menteri

 

 

***