Skip to main content
Kolum Industri Kreatif - 17 September 2021

MAMPUKAH LESEN TV & INSENTIF PERCUKAIAN MENGGALAK ALIRAN TUNAI DALAM INDUSTRI KANDUNGAN?

 

 

TOPIK kali ini menyambung perbincangan penulisan saya beberapa minggu lalu berhubung usaha untuk menggalakkan aliran tunai dalam industri kandungan kreatif negara yang dibimbangi akan menjunam teruk akibat situasi pandemik kini.

 

Minggu lalu, saya membuat tinjauan umum di laman media sosial peribadi  tentang pendapat mengenai kewajaran untuk lesen televisyen dikenakan kembali kepada setiap televisyen di Malaysia. Majoriti yang memberikan respon berpendapat bahawa ia adalah langkah yang tidak perlu dan kurang wajar.

 

Sepertimana yang kita ketahui, pihak kerajaan Malaysia pernah memperkenalkan lesen untuk menggunakan televisyen pada tahun 1991 – yang diperkenalkan selaras dengan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Penyiaran (Lesen-lesen Alat Terima Siaran Televisyen Dan Untuk Berniaga Alat Terima Siaran Radio Dan Televisyen ) 1991. Ia menetapkan kadar sejumlah RM24 setahun bagi setiap set televisyen yang dimiliki.

 

Ketika itu, sememangnya menjadi praktis kelaziman kebanyakan negara mengenakan pelesenan untuk memiliki dan menerima siaran televisyen – yang kebanyakannya bertujuan bagi membiayai kos penerbitan kandungan bagi saluran televisyen rasmi negara.

 

Antara yang awal adalah negara United Kingdon yang menyalurkan bayaran pelesenan televisyen tersebut bagi membiayai kos penerbitan kandungan untuk BBC.

 

Bagaimanapun, seiring waktu, sebuah demi sebuah negara memansuhkan lesen televisyen terbabit  dengan mula membiayai kos penerbitan kandungan stesen televisyen awam dari sumber-sumber lain.

 

Malaysia juga telah memansuhkan pelesenan tersebut bermula tahun 1999, jauh lebih awal dari negara jiran Singapura yang hanya memansuhkan pelesenan terbabit bermula tahun 2011.

 

Sebenarnya tinjauan saya itu tidaklah berasaskan kepada hasrat mana-mana pihak untuk mewujudkan kembali pelesenan tersebut. Malah ia mungkin tidak praktikal dilaksanakan kini  memandangkan majoriti televisyen pintar kini tidak lagi menerima siaran melalui frekuensi dari pemancar, sebaliknya kebanyakan menerima siaran melalui internet; disamping televisyen tidak lagi sekadar digunakan untuk menonton saluran televisyen – lebih dari itu.

 

Ia hanyalah cetusan idea mentah ketika saya memikirkan tentang mekanisme bagaimana dalam menggalak aliran tunai ke dalam sektor penerbitan kandungan kreatif di Malaysia.

 

Saya tidak pasti dengan jumlah set televisyen dalam negara pada masa ini. Namun, sekiranya dengan anggaran kasar 10 juta set televisyen yang diguna pakai dalam negara kini dan kadar RM24 setahun dikenakan kepada setiap set televisyen, kita bakal mempunyai tambahan sekitar RM240 juta setahun bagi disalurkan dalam memperbanyakkan penerbitan kandungan tempatan. Ia jumlah yang besar bagi sektor penerbitan kandungan dan perfileman Malaysia.

 

 

lesen
LESEN TV bertarikh 1991 yang kini dijual sebagai barangan `rare' 

 

 

Saya tidak tahu jumlah sebenar yang disalurkan kerajaan setiap tahun bagi penerbitan kandungan (termasuk filem) di negara ini tetapi berdasar pemerhatian dan anggaran umum kepada kontrak penerbitan yang diberikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Dana Kandungan Digital (DKD) yang dikeluarkan FINAS, berkemungkinan sekitar RM100 juta ke RM150 juta diperuntukkan untuk tujuan tersebut.

 

Jumlah tersebut secara umumnya sejak beberapa tahun terakhir menyediakan peluang pekerjaan kepada sebahagian besar syarikat penerbit dan pekerja industri kreatif.

 

Jadi, bayangkan sekiranya terdapat tambahan sejumlah RM240 juta – jumlah yang bukan sahaja signifikan – tetapi berganda. Ia saya lihat mampu mengembangkan saiz industri, malah memperbanyakkan kandungan tempatan yang dibiayai oleh stesen kerajaan lebih dua kali ganda.

 

Walaupun ia tidak termasuk pelaburan oleh sektor swasta termasuk stesen televisyen swasta, saya pasti ia tetap jumlah yang signifikan dan memberikan impak terhadap kuantiti kandungan dan filem tempatan.

 

Peningkatan kuantiti penerbitan diharapkan dapat memberikan lebih banyak peluang, termasuk kepada syarikat dan pembikin yang secara tidak langsung meningkatkan kemungkinan untuk kita menemui lebih ramai bakat berpotensi untuk diketengahkan bagi pasaran serantau dan antarabangsa.

 

Meskipun ia bukan adalah penentu tunggal atau mungkin juga bukan indikator utama,  namun saiz pasaran adalah antara faktor untuk membolehkan lebih ramai bakat berpotensi dicungkil.

 

Walaupun sememangnya kita menggalakkan pembikin untuk tidak bergantung kepada pasaran tempatan, namun saiz pasaran tempatan juga adalah sesuatu yang penting dan perlu dilihat oleh pentadbir dan penggubal polisi untuk sentiasa berusaha mengembangkannya dari semasa ke semasa  kerana di situlah kolam bakat untuk kita memupuk syarikat dan bakat berpotensi ini.

 

Jangan salah anggap seolah saya cuba menyeru untuk lesen televisyen kembali dikuatkuasakan. Saya sendiri berpendapat bahawa sekiranya masih terikat dengan kerangka pelaksanaan terdahulu, pelaksanaan lesen televisyen adalah satu langkah ke belakang. Tambahan pula dalam ruang pendemokrasian dan kebebasan media.

 

Malah, dalam dunia digital kini, saya juga melihat pelesenan televisyen bukanlah pendekatan yang sesuai untuk mencapai objektif galakan aliran tunai terbabit. Tetapi ia juga tidak seharusnya jadi penyekat kepada kita untuk memikirkan pendekatan lain yang dilihat tidak membebankan orang awam tetapi mampu memberikan impak besar kepada aliran tunai dalam industri kandungan termasuklah dari aspek percukaian.

 

Kita dapat melihat bagaimana cukai pelancongan diperkenalkan pada beberapa tahun lalu (walau dikecualikan sementara kini dalam menggalak pelancongan pasca- pandemik) yang disalurkan bagi pembangunan industri Meeting, Incentive, Coferencing & Exhibitions (MICE) di Malaysia.

 

Pendekatan United Kingdom yang menyalurkan cukai perjudian bagi tujuan pembangunan industri kreatif boleh dipinjam pendekatannya  meski dalam konteks Malaysia, ia bukanlah dari cukai perjudian yang mungkin menimbulkan kontroversi.

 

 

finas
Ibu pejabat FINAS di Jalan Hulu Klang, Ampang, Selangor

 

 

Selain itu, pendekatan insentif pengeculian cukai boleh diusahakan oleh pihak bertanggungjawab seperti FINAS dalam menggalak sebarang penajaan sama ada bagi tujuan penerbitan, mahupun aktiviti berkaitan pembangunan industri.

 

Pendekatan pihak Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) yang mendapat kelulusan dari Perbendaharaan Malaysia untuk mendapatkan pengecualian cukai sehingga RM25 juta  bagi sebarang tajaan dari pelbagai pihak yang berminat menaja aktiviti aktiviti perbukuan sepanjang tahun 2021 wajar diteroka dan diusahakan.

 

Bagaimana pula dengan cadangan untuk mengenakan cukai hiburan tambahan kepada setiap tiket bagi menonton filem luar negara di pawagam tempatan  yang mana tambahan tersebut disalurkan sebagai peruntukan dana bagi penerbitan filem tempatan? Mungkin ia boleh dilaksanakan.

 

Dalam masa yang sama, mungkin pihak FINAS boleh membimbing dan menjadi pemudahcara kepada syarikat-syarikat produksi bagi membolehkan mereka dapat memanfaatkan insentif-insentif cukai lain yang berkuatkuasa di Malaysia  melalui sinergi pelbagai kemudahan pelepasan cukai yang sedia ada.

 

Sebagai contoh memanfaatkan pelepasan cukai 100% untuk tempoh 10 tahun yang diberikan kepada syarikat berstatus Multimedia Super Corridor (MSC) berasaskan Seksyen 6 (1AB) dan 14C, Akta Promosi Pelaburan 1986 dalam menggalak pelaburan baharu ke dalam industri ini.

 

Ini termasuklah juga pengecualian cukai yang diberikan kepada syarikat yang mendapat status Iskandar Malaysia (IDR-Status Company)  untuk syarikat bertapak di Iskandar Malaysia yang sememangnya meletakkan industri kreatif sebagai salah satu bidang ekonomi di wilayah ekonomi tersebut.

 

Semoga akan ada lagi mekanisme lain berkaitan pelesenan dan insentif percukaian yang dilihat praktikal dan relevan  dalam menggalak aliran tunai ke dalam industri ini. Menjadi tanggungjawab pihak pentadbir dan penggubal polisi untuk memikirkan hal ini bagi manfaat semua. - DagangNews.com

 

 

 

Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL INDUSTRI KREATIF :

 

 

 

Portfolio Tags