Mana ‘pergi’ pelabur ekuiti asing? | DagangNews Skip to main content

Mana ‘pergi’ pelabur ekuiti asing?

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 2 Mac - Tidak tahu hilang ke mana, tetapi aliran masuk ekuiti daripada pelabur asing semakin ‘sunyi’. 

 

‘Kehadiran’ vaksin COVID-19 ke dalam negara disangka dapat menyuntik semula sentimen pasaran ekuiti, namun jangkaan itu meleset apabila indeks penanda aras FBM KLCI hanya mampu berlegar dalam julat 1,570 dan 1,580. 

 

Setakat 2.30 tengah hari, FBM KLCI mencatatkan paras 1,573.38 dengan paras tertinggi mencecah 1,583.43.

 

Pelabur asing menjual bersih ekuiti Malaysia setiap hari kecuali pada Khamis pada minggu lalu, menjadikan nilai aliran keluar mencecah -RM477.43 juta. 

 

Itu data yang diperoleh daripada laporan MIDF Research semalam. 

 

Baca : Pelabur asing ‘lali’ dengan vaksin COVID-19

 

Malah, sepanjang tahun 2021, hanya pelabur runcit yang menjadi pembeli bersih ekuiti Malaysia. 

 

Menerusi nota kajian CGS-CIMB Research pula, pelabur asing menjual saham-saham Hartalega Holdings Berhad, Malayan Banking Berhad (Maybank) and Top Glove Corporation Berhad pada minggu lalu, menjadikan jumlah penjualan bersih kumpulan itu menokok kepada -RM1.70 bilion.

 

Sentimen vaksin yang pernah menyuntik FBM KLCI sehingga menghampiri paras 1,700 sekitar September 2020 tidak mampu membalikkan prestasi aliran masuk asing ketika ini.

 

Sudah hilangkah keyakinan pelabur asing terhadap pasaran ekuiti Malaysia?


 

Ada kaitannya dengan saham sarung tangan

 

Penyusutan pembelian bersih oleh pelabur asing ketika ini tidak boleh ditafsirkan sebagai, mereka telah hilang keyakinan terhadap pasaran saham Malaysia, itu pandangan Ketua Penyelidik MIDF, Imran Yassin Md. Yusof.

 

Imran Yassin
Imran Yassin Md. Yusof

 

Ini adalah kerana pelabur asing akan sentiasa memutarkan pelaburan mereka di pasaran-pasaran lain di seluruh dunia, katanya. 

 

Sebaliknya, situasi ketika ini mungkin hanya sementara di mana pelabur asing mengambil untung kaunter sarung tangan selepas kenaikan harga saham yang mendadak tahun lepas, ulasnya lanjut.

 

“Dari segi data daripada Bursa Malaysia, kita juga boleh lihat bahawa penjualan bersih daripada pelabur asing untuk dua bulan pertama tahun ini berkurangan sebanyak 19% jika dibanding dengan penjualan bersih tahun lepas. 

 

“Malah, penjualan bersih daripada institusi domestik lebih daripada penjualan bersih pelabur asing,” katanya kepada DagangNews.com.

 

Sepanjang minggu lalu, FBM KLCI tersekat dalam julat dagangan yang terhad ekoran penjualan lewat terutamanya melibatkan kaunter sarung tangan. 

 

Dalam nota kajian sama oleh MIDF, hanya Indonesia yang menyaksikan aliran masuk asing berbanding pasaran Asia Tenggara lain pada minggu lalu berakhir 26 Februari.

 

Stock
SITUASI penjualan bersih asing ketika ini mungkin hanya sementara di mana pelabur asing mengambil untung kaunter sarung tangan selepas kenaikan harga saham yang mendadak tahun lepas.

 

Imran Yassin berkata, pelabur asing merupakan salah satu komponen penting untuk pasaran saham yang rancak. 

 

Kepentingan kumpulan pelabur itu seiring dengan kepentingan pelabur runcit atau pelabur institusi domestik kerana mereka menambahkan keluasan dan kedalaman (breadth and depth) pasaran saham domestik dan membolehkan penemuan harga (price discovery) yang lebih efisien, katanya lagi.

 

Ringgit, penilaian pasaran saham Malaysia penentu aliran masuk asing

 

“Kami berpendapat bahawa pelabur asing mungkin akan kembali melabur ke pasaran ekuiti Malaysia pada tahun ini. Ini bergantung kepada paras penilaian pasaran saham Malaysia. 

 

“Kami perhatikan sebelum ini bahawa jika paras penilaian tepat kepada selera risiko pelabur asing, mereka akan mula melabur. 

 

“Di samping itu, kami berpendapat bahawa nilai ringgit akan terus kukuh berbanding dolar Amerika dan ini juga akan memberi satu insentif untuk pelabur asing kembali ke pasaran ekuiti domestik,” ujarnya lanjut.

 

Politik tidak stabil kekal sebagai risiko kepada pasaran ekuiti

 

Penyelidik dari Pusat Pendidikan Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) menyatakan bahawa pelabur asing yang melabur dalam pasaran ekuiti tempatan mempunyai matlamat untuk memaksimumkan keuntungan serta pelaburan mereka bersifat jangka pendek.

 

Dr. Baharom
Baharom Abdul Hamid


"Di Malaysia khasnya, keadaan ini diburukkan oleh dua lagi perkara, sektor pembuatan sarung tangan dikaitkan dengan pengeksploitasian pekerja asing baik dari segi upah mahupun tempat tinggal, dan diburukkan lagi oleh ketidakstabilan politik,” kata Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid.

 

Beliau mengingatkan bahawa pasaran ekuiti tidak seperti pelaburan langsung asing (FDI) di mana pelabur asing amat sensitif terhadap keadaan perseketiran yang boleh mengganggu pulangan mereka dan akan menyusun semula portfolio mereka.

 

“Seperti mana jangkaan umum, dengan program vaksinasi dijalankan secara meluas, maka mereka menjangkakan permintaan kepada sarung tangan akan menurun, dan adalah sesuatu yang biasa untuk mereka ingin menjual (saham sarung tangan) sebelum keadaan ini menjadi lebih buruk,” tambahnya. 


 

Pelabur runcit terus ‘penuhi’ pasaran ekuiti

 

CGS-CIMB mendapati pelabur runcit mencatatkan aliran masuk tertinggi sejak 24 Julai 2020 pada minggu lalu, menjadikan jumlah pembelian keseluruhan mencecah RM3.8 bilion setakat ini, pada tahun 2021. 

 

Mereka membeli saham dari sektor penjagaan kesihatan dan kewangan di mana menyaksikan Top Glove, Public Bank Berhad dan Supermax Corporation Berhad menerima aliran masuk tertinggi.

 

Pelabur runcit
PELABUR runcit mula 'membanjiri' pasaran ekuiti tempatan sejak penularan pandemik COVID-19.

 

Jelas firma penyelidikan itu, FBM KLCI pada minggu lalu menjunam 0.5% kepada 1,578 mata ekoran penjualan saham sarung tangan memandangkan Malaysia memulakan Program Imunisasi Kebangsaan. 

 

“Purata jumlah dagangan harian jatuh 6% minggu ke minggu kepada 11.6 juta, sementara purata nilai dagangan harian menokok 10% kepada RM6.4 bilion memandangkan terdapat lebih banyak aktiviti pelaburan dalam syarikat permodalan besar. 

 

“Pelabur runcit merupakan pembeli bersih di kesemua pasaran ekuiti kecuali sektor tenaga. 

 

“Pelabur asing pula merupakan penjual bersih bagi semua sektor kecuali penjagaan kesihatan (RM338 juta dan pengindustrian (RM96 juta). Mereka merupakan penjual bersih terbesar dalam perkhidmatan kewangan (-RM361 juta) dan teknologi (-RM170 juta),” jelas CGS-CIMB. - DagangNews.com