Margin keuntungan Nestle dijangka terus terjejas pada 2H22 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Margin keuntungan Nestle dijangka terus terjejas pada 2H22 - MIDF Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Ogos - MIDF Research menjangkakan Nestle (Malaysia) Berhad akan terus berhadapan tekanan dari segi kos operasi yang bakal menjejaskan margin keuntungan pada 2H22.

 

Firma itu berkata, harga bahan mentah dan komoditi kekal pada paras tertinggi ketika ini selain tukaran wang asing yang tidak stabil selain kenaikan gaji minimum akan memberi kesan kepada operasi pengeluaran kumpulan itu.

 

Katanya, kumpulan itu terkesan kerana bahan mentah kumpulan itu dibeli dalam mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

 

"Pihak pengurusan menyatakan bahawa langkah terakhir untuk menangani penurunan margin keuntungan adalah dengan meningkatkan harga jualan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu optimis dengan jualan pada 2H22 disokong oleh jualan eksport selepas kebanyakan negara sudah mula membuka sempadan antarabangsanya.

 

Katanya, ia juga didorong oleh permintaan pelanggan yang stabil daripada pelanggan selain inovasi produk serta portfolio inovasi yang akan berkembang kepada perkembangan jualan.

 

"Kami menjangkakan kumpulan itu terus mengalami tekanan dari segi margin keuntungan kerana tidak dapat menyalurkan kenaikan kos itu sepenuhnya kepada pelanggan mereka akibat permintaan yang tidak elastik.

 

"Bagaimanapun, prospek jangka panjang kumpulan itu dilihat positif disokong oleh kunci kira-kira yang kukuh dan inventori yang tinggi," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM141.50 sesaham. - DagangNews.com