Masalah kekurangan mikrocip punca kelewatan stok kenderaan Toyota | DagangNews Skip to main content

Masalah kekurangan mikrocip punca kelewatan stok kenderaan Toyota

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jun - Isu kekurangan mikrocip menjadi punca kelewatan stok kenderaan UMW Toyota Motor untuk sampai kepada pelanggan. 

 

Presidennya, Ravindran. K menjelaskan, UMW Toyota Motor sedang berusaha untuk menyelesaikan isu tersebut dengan segera.

 

"Bagi pelanggan yang tertunggu-tunggu ketersediaan stok kenderaan, kami memohon kesabaran dan pemahaman anda berikutan kekurangan mikrocip. 

 

"UMW Toyota Motor sedang berusaha untuk memenuhi pesanan tertunggak secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, beliau berkata, UMW Toyota Motor mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

 

Katanya, pihaknya tetap komited untuk menawarkan perkhidmatan nilai tambah terbaik selepas berakhirnya tempoh pengecualian tersebut pada 30 Jun 2022.

 

"Kami merakamkan penghargaan untuk sokongan yang telah diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada industri automotif melalui pengecualian SST mulai Jun 2020.

 

“Prestasi jualan kami yang positif boleh dikaitkan dengan inisiatif kerajaan untuk memacu pemulihan industri automotif tempatan selepas impak daripada pandemik," katanya.

 

Tambahnya, UMW Toyota Motor terus menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik dalam kelasnya, dengan yang pakej kewangan terbaik dan rebat kepada pelanggan.

 

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari toyota.com.my atau menghubungi talian 1- 800-88-TOYOTA (869682). - DagangNews.com