KUALA LUMPUR 10 Mac - Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menegaskan kepada semua pemegang unit bahawa situasi di Sapura Energy Bhd. hanya memberi kesan minimum ke atas portfolionya.
Jelas dana pelaburan itu, pada harga pasaran semasa, pendedahan PNB dalam syarikat minyak dan gas itu adalah kurang 1% daripada aset di bawah pengurusannya (AUM).
PNB juga difahamkan syarikat tersebut telah mengalami kesusahan kewangan akibat ketidaktentuan dalam industri minyak dan gas serta kesan daripada pandemik COVID-19.
"Keadaan ini telah menjejaskan prestasi kewangan syarikat tersebut, yang menyebabkan kecairan ketat yang berpanjangan dan pelbagai tindakan undang-undang oleh vendor dan pembekal kerana tunggakan pembayaran hutang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam hal ini, PNB sedia maklum bahawa Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur, telah meluluskan permohonan Sapura Energy dan 22 anak syarikat milik penuhnya, untuk mendapatkan Perintah di bawah Seksyen 366 dan 368 Akta Syarikat 2016.
Perintah ini merupakan kebenaran untuk berunding dengan pemiutang mengenai cadangan skim pengaturan dan Perintah Penyekatan untuk menangguhkan sebarang prosiding undang-undang terhadapnya.
"PNB telah dimaklumkan bahawa perintah mahkamah tersebut akan membolehkan Sapura Energy menyusun semula struktur modal dan meletakkannya pada kedudukan yang mampan," jelasnya.
PNB berkata, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada komitmen untuk melindungi dan bertindak demi kepentingan terbaik para pemegang unit. - DagangNews.com