Masih ada 1,970 jawatan kosong perindustrian di Perak | DagangNews Skip to main content

Masih ada 1,970 jawatan kosong perindustrian di Perak

Sektor pembuatan

KUALA LUMPUR 16 Okt. - Kira-kira 1,970 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor perindustrian di negeri Perak masih dibuka untuk rakyat negeri berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, kekosongan tersebut memerlukan penempatan segera agar sektor perindustrian berkenaan dapat beroperasi dengan sebaik mungkin.

"Sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima oleh PASAK (Pusat Aspirasi Anak Perak) bermula Jun sehingga September lepas meliputi sektor pembuatan 770 kekosongan, automotif 881 kekosongan, perkhidmatan 122 kekosongan dan lain-lain sektor, 474 kekosongan jawatan.

"Namun begitu, daripada sejumlah 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah PASAK, hanya 277 pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri sehingga kini.

"Ini bermakna, masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat negeri Perak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyeru rakyat negeri Perak yang sedang mencari pekerjaan agar memenfaatkan peluang yang ditawarkan oleh industri pelaksana PASAK.

Katanya, industri sedang berdepan dengan masalah kekurangan permohonan daripada warga tempatan untuk mengisi jawatan yang ditawarkan khususnya dalam industri pembuatan.

Fokus terhadap peningkatan modal insan dalam bidang kemahiran turut ditekankan oleh kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

"Kerajaan negeri juga telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosioekonomi serta kehidupan rakyat khususnya dalam membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri selain komited dalam memfokuskan peningkatan modal insan dalam bidang kemahiran.

"Kerajaan negeri juga menyeru kepada pencari kerja untuk menghubungi PASAK melalui talian 05-3183290 atau melayari Facebook Pusat Aspirasi Anak Perak/PASAK untuk memperoleh informasi terkini berkaitan peluang pekerjaan di Perak," tambahnya lagi. - DagangNews.com