Masih berdepan masalah buruh, Kenanga Research turunkan penarafan SLP Resources kepada 'market perform' | DagangNews Skip to main content

Masih berdepan masalah buruh, Kenanga Research turunkan penarafan SLP Resources kepada 'market perform'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Kenanga Research menyemak turun penarafan saham SLP Resources Bhd. kepada 'market perform' berbanding 'outperform' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada 92 sen daripada 99 sen sesaham berikutan prestasi separuh pertama yang kurang memberangsangkan. 

 

Keuntungan teras bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM8.7 juta adalah tersasar daripada jangkaan firma dengan hanya 39& daripda unjuran tahun penuh disebabkan produktiviti yang lebih rendah berpunca daripada masalah kekurangan buruh. 

 

Ini menyaksikan anggaran untung bersihnya bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) dan FY23 masing-masing dikurangkan sebanyak 22% dan 15%. 

 

"Semakan itu mencerminkan volum jualan yang lebih rendah secara berterusan disebabkan pengeluaran yang lebih rendah akibat kekurangan pekerja.

 

"Kami percaya operasi SLP tidak akan segera kembali ke tahap optimum berikutan masalah buruh yang masih berpanjangan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada suku pertama, SLP merekodkan untung bersih sebanyak RM8.86 juta daripada RM4.68 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM47.07 juta daripada RM41.53 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.

 

Bagi separuh pertama, untung bersih meningkat kepada 13.37 juta daripada RM10.71 juta dengan pendapatan lebih tinggi pada RM92.58 juta daripada RM87.55 juta.

 

Menurut Kenanga Research, pengambilan buruh asing berkemungkinan akan menjadi lebih panjang memandangkan ia melibatkan rundingan kerajaan-ke-kerajaan. 

 

Katanya, walaupun SLP setakat ini boleh membawa masuk beberapa pekerja asing, tetapi jumlah itu masih jauh daripada sasarannya.

 

"Pada masa sama, di sebalik langkah SLP memulakan automasi, pergantungan mereka kepada pekerja asing akan kekal ketara dalam jangka masa sederhana," jelasnya.

 

Dalam pada itu, firma itu berkata, penurunan harga resin akan meningkatkan margin produk bukan komoditi/premium tertentu.

 

Ia mendapati harga resin telah menurun kira-kira 15 hingga 20% kepada AS$1,280 satu tan metrik daripada harga puncak pada April 2022. 

 

"Ini menunjukkan lebih banyak kelemahan pada separuh kedua 2022 memadangkan trdapat kapasiti pengeluaran resin baharu yang ketara akan datang dalam aliran dan permintaan lemah dari China (yang mengamalkan dasar sifar COVID-19 masih belum pulih sepenuhnya daripada gangguan yang timbul daripada sekatan pergerakan)," katanya. 

 

Setakat 12.08 tengah hari ini, harga saham SLP menokok 2 sen atau 2.29% kepada 89.5 sen dengan 101,900 saham diniagakan. - DagangNews.com