MASMED UiTM, Politeknik Melaka bentuk kerjasama perkasa program keusahawanan | DagangNews Skip to main content

MASMED UiTM, Politeknik Melaka bentuk kerjasama perkasa program keusahawanan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

MELAKA 23 Jun - Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) Universiti Teknologi MARA (UiTM) memeterai perjanjian usaha kolaborasi dengan Politeknik Melaka (PMK). 

 

MASMED dalam satu kenyataan memaklumkan, kolaborasi tersebut membentuk kerjasama dalam bidang keusahawanan dalam usaha melahirkan ekosistem sokongan pasca pandemik yang bakal memberi banyak manfaat dalam usaha untuk memperkasakan program berkaitan keusahawanan di PMK.


 
"Melalui kerjasama itu, ia akan membolehkan PMK dihubungkan dengan ekosistem keusahawanan MASMED yang terdiri daripada kampus utama UiTM dan 13 kampus cawangan. 

 

"Selain itu, usaha tersebut mampu mengubah landskap keusahawanan PMK dengan memperkenalkan naratif baharu keusahawan kepada unit dan tenaga pengajar keusahawanan PMK.

 

"Ia bagi membangunkan pemikiran yang betul dan kaedah yang berkesan dalam memupuk minda keusahawanan dalam kalangan pelajar melalui Bengkel Minda, Hati dan Jiwa Keusahawanan yang bakal berlangsung bulan Julai hadapan," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, antara aktiviti yang bakal dijalankan antara PMK dan MASMED termasuk, mengadakan latihan bersesuaian untuk menambah ilmu pengetahuan dalam meningkatkan kemahiran staf dan pelajar dalam bidang keusawahanan dan kerjasama dalam pelaksanaan Program Inkubator Keusahawanan PMK.

 

"Aktiviti lain seperti perkongsian kepakaran dan kemahiran kepada staf serta pelajar PMK serta pembangunan dan penyelidikan (R&D) dalam bidang yang berkaitan dengan keusahawanan dan bidang bersesuaian," katanya.

 

 

uitm

 

 

Katanya, ia mampu melahirkan lebih banyak usahawan dalam kalangan pelajar dengan matlamat menjuarai pembangunan usahawan pelajar serta graduan menerusi kurikulum terkehadapan dan perkongsian kepakaran secara terus. 

 

"Kolaborasi ini juga bakal merealisasikan visi UiTM untuk menjadi sebuah universiti tersohor dan berprestij dalam bidang Sains dan Teknologi, Kemanusiaan dan Keusahawanan," katanya.

 

 

uitm

 

 

Pada majlis berkenaan, MASMED UiTM diwakili Ketua Jabatan Latihan dan Perundingan, Afizan Amer manakala PMK diwakili Pengarahnya, Razali Johari.

 

Turut hadir, Koordinator Keusahawanan MASMED UiTM Cawangan Melaka, Khalilah Ibrahim; Ketua Jabatan Penjenamaan Korporat MASMED, Wan Mohd Farid Wan Zakaria dan Ketua Unit Keusahawanan PMK, Zawati Zakaria. - DagangNews.com