Masyarakat disaran sertai MSD 2021 bagi tingkatkan kefahaman pengurusan kewangan - PM | DagangNews Skip to main content

Masyarakat disaran sertai MSD 2021 bagi tingkatkan kefahaman pengurusan kewangan - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Masyarakat Malaysia disaran untuk menyertai Minggu Saham Digital (MSD) 2021 anjuran Permodalan Nasional Berhad (PNB) bagi meningkatkan kefahaman terhadap pengurusan kewangan, menabung dan melabur.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penganjuran kedua secara maya selama tujuh hari bermula semalam hingga 23 November ini memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia belajar dalam suasana santai dan selesa bersama keluarga. 

 

Menerusi pelaksanaan program tersebut, beliau berkata, PNB akan terus relevan dan lestari dalam mendukung mandat meningkatkan kekayaan masyarakat bumiputera dan negara secara keseluruhan. 

 

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada PNB atas usaha menganjurkan Minggu Saham Digital buat kali kedua tahun ini setelah penganjuran yang mendapat sambutan menggalakkan tahun lalu. 

 

"Pada saat negara sedang berhempas pulas menguruskan impak pandemik COVID-19, PNB telah meneruskan agenda literasi kewangannya malah ditambah baik agar lebih ramai Keluarga Malaysia dapat terlibat sama. 

 

"Pada hemat saya, ini adalah platform terbaik bagi Keluarga Malaysia untuk sama-sama mempelajari tips mengurus kewangan, menabung dan melabur dalam suasana santai serta selesa bersama keluarga," katanya ketika berucap merasmikan MSD 2021 secara maya hari ini.

 

Dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria hari ini, MSD 2021 diadakan buat kali kedua berikutan sambutan menggalakkan yang diterima pada tahun lalu apabila berjaya meraih lebih dua juta tontonan secara maya.

 

MSD merupakan adaptasi digital Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) yang telah dianjurkan secara fizikal selama dua dekad sejak tahun 2000 hingga 2019 namun kini dapat diakses khalayak ramai di mana jua mereka berada.

 

Perdana Menteri turut menyeru supaya sektor awam dan swasta agar bekerjasama dalam menyemarakkan usaha pendigitalan perkhidmatan dan penyampaian kepada rakyat. 

 

"Insya-Allah, menerusi kerjasama ini kita akan melangkah ke ekonomi digital dengan yakin dan cukup bersedia. 

 

"Tahniah kepada PNB kerana bukan sahaja menyemarakkan agenda digitalisasi negara, malah secara tidak langsung menambah baik kaedah penyampaian dan pendekatan kepada rakyat," katanya.-Dagangnews.com