MATTA Fair 2020 berlangsung secara dalam talian | DagangNews Skip to main content

MATTA Fair 2020 berlangsung secara dalam talian

MATTA Fair 2020

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 30 Julai - Selepas melalui beberapa fasa peralihan tarikh pamerannya, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) tekad melangsungkan pameran tersebut secara dalam talian.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, dikenali dengan nama MATTA Fair Dalam Talian 2020, pameran tersebut merupakan inisiatif baharu bagi memudahkan penjualan pakej pelancongan dalam kalangan ahli khususnya bagi percutian domestik.

"Inisiatif itu akan berlangsung pada 9 hingga 15 September 2020 melalui kerjasama rakan kongsi pelancongan yang akan memberi pelbagai tawaran diskaun menarik.

"MATTA menjalin kerjasama rapat dengan rakan kongsi dan pihak penaja yang berpotensi seperti Tourism Malaysia, Malaysia Airlines, Penang Global Tourism, Persatuan Hotel Malaysia, Persatuan Taman Tema dan Pusat Hiburan Keluarga Malaysia, Persatuan Spa Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan.

Tan Kok Liang
Tan Kok Liang 

 

Selain itu, MATTA turut menjalinkan kerjasama bersama syarikat aplikasi dalam talian iaitu BOOST dan IPAY88 serta lain-lain pejabat pelancongan negeri.

Lebih menarik, pempamer akan membuat tawaran istimewa melalui perkhidmatan tambah nilai pada kadar istimewa dan diskaun harga.

Pelanggan juga boleh melihat pelbagai pakej pelancongan dan perjalanan dengan julat barangan nic dan produk terkini.

Jelas Liang lagi, pihaknya sedang bekerja keras bagi menjayakan acara MATTA Fair Dalam Talian 2020 biarpun keadaan mencabar berikutan pandemik COVID-19.

"Pendaftaran untuk penyertaan acara bermula pada 29 Julai hingga 10 Ogos.

"Untuk maklumat lanjut dan terkini, orang ramai boleh lawati akaun Facebook MATTA Fair @mattafairkualalumpur dan Instagram @mattafair," jelasnya. - DagangNews.com