Maxis galakkan pelanggan 3G naik taraf kepada 4G sebelum akhir tahun 2021 | DagangNews Skip to main content

Maxis galakkan pelanggan 3G naik taraf kepada 4G sebelum akhir tahun 2021

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Sept. - Maxis telah berkomunikasi secara proaktif dengan pelanggan 3G daripada segmen pengguna dan perusahaan mudah alih serta perusahaan M2M / IoT untuk menaik taraf kepada 4G sebelum akhir tahun ini.

 

Usaha itu dilakukan menerusi kempen Balas Budi dengan 4G yang juga telah dilancarkan dengan tujuan menyokong dan membantu pelanggan untuk bersedia dengan peralihan rangkaian.

 

Ketua Pegawai Jualan & Perkhidmatan Maxis, Patrick Er berkata bahawa pihaknya melaksanakan penamatan 3G dengan mengutamakan pelanggan dan komited untuk membantu mereka sepenuhnya.

 

Patrick Er
Patrick Er

 

“Talian kami sentiasa dibuka untuk sebarang pertanyaan, atau bantuan mengenai naik taraf. Kami juga meminta pengguna 4G kami di luar sana untuk mendorong keluarga dan rakan mereka yang masih menggunakan 3G, untuk mula beralih ke rangkaian dan peranti 4G, supaya mereka tidak ketinggalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kempen ini pada dasarnya mendorong pengguna 4G untuk menolong ibu bapa, keluarga dan rakan mereka yang masih menggunakan peranti 3G untuk beralih ke peranti 4G dengan segera, termasuk bagaimana mereka boleh mendapat akses mudah ke peranti 4G.

 

Bagi pelanggan yang perlu naik taraf ke peranti 4G, Maxis menawarkan promosi dan penggabungan peranti, termasuk pelan Zerolution dan Pelan Peranti RM1 dengan komitmen bulanan yang berpatutan.

 

Walaupun penamatan 3G tidak mempengaruhi pengguna semasa Maxis 4G, jelas syarikat telekomuniskasi itu, mereka disarankan untuk mengaktifkan Voice Over LTE (VoLTE) pada peranti mereka.

 

Jalinan Digital Negara (Jendela), rancangan infrastruktur digital kerajaan untuk mencapai liputan 4G yang lebih luas dan pengalaman jalur lebar berkualiti tinggi untuk semua rakyat Malaysia, dilaksanakan bagi memenuhi perubahan zaman.

 

Penamatan 3G merupakan inisiatif penting di bawah rancangan tersebut yang sedang dilakukan oleh semua penyedia telekomunikasi dan akan selesai pada akhir 2021. - DagangNews.com