Skip to main content

Maxis pastikan rangkaiannya tidak terganggu sepanjang PKP penuh

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - Syarikat telekomunikasi, Maxis Berhad akan memastikan rangkaiannya tidak terganggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh ini supaya pelanggan terus dapat menikmati perkhidmatannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut berkata, pihaknya tekad untuk menyokong negara dan terus memainkan peranan dalam mengutamakan keperluan pekerja dan pelanggan.

 

“Kegigihan rakyat Malaysia dalam melestarikan masa-masa yang mencabar ini telah memberi inspirasi kepada kami.

 

Gokhan Ogut
Gokhan Ogut

 

“Kami komited untuk memungkinkan masyarakat, perniagaan dan negara untuk Terus Menerajui dalam dunia yang selalu berubah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Jelas syarikat telekomunikasi itu, kedainya di seluruh negara terus beroperasi seperti biasa sepanjang PKP untuk memenuhi keperluan pelanggan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

 

Maxis juga memberi jaminan kepada pelanggan bahawa mereka boleh melayari aplikasi Maxis, Hotlink, Hotlink Postpaid untuk transaksi dan akses ke kandungan, dengan pusat panggilan perkhidmatan pelanggan turut kekal aktif.

 

Rangkaian mudah alih dipastikan tidak terganggu kerana kerja pemasangan dan pemulihan perkhidmatan terus dilakukan oleh pakar teknikal Maxis semasa PKP, kecuali di kawasan dan zon di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran Bersasar (TEMCO), jelas Maxis lanjut.

 

Dalam masa sama, Maxis juga telah meningkatkan kapasitinya dari program pengembangan rangkaian 2020 dan jurutera turut berada di lokasi strategik seluruh negara susulan ramai yang bergantung kepada kesalinghubungan berkelajuan tinggi semasa bekerja atau belajar dari rumah,

 

“Pendidikan juga merupakan tonggak utama dalam inisiatif masyarakat Maxis, dan kami telah meningkatkan kegiatan digital untuk program komuniti unggul, Maxis eKelas untuk menyokong pembelajaran selepas waktu persekolahan.

 

“Kami menyediakan sesi YouTube Live dengan kuiz dan pembelajaran berasaskan permainan melalui portal eKelas untuk memastikan pelajar dapat meraih faedah teknologi,” tambah Ogut.

 

Sementara itu, Maxis juga menyokong usaha industri oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk meningkatkan kesedaran mengenai Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di Pusat Komuniti Internet (PIK) seluruh negara.

 

Bagi memastikan liputan yang stabil di pusat pengedaran vaksinasi, Maxis telah melancarkan Kenderaan Liputan Bergerak (MCV) di IDCC, Shah Alam dan akan dihantar ke Hospital UCSI Bandar Springhill, Lukut.

 

Peningkatan kapasiti juga akan dilakukan di Setia City Convention Centre dan UiTM Puncak Alam, tambah Maxis. - DagangNews.com