Skip to main content

Maxis sumbang komputer riba kepada komuniti B40 di Sarawak

Bhaarathyraja Thanapal (kiri) menyerahkan komputer riba yang telah diperbaharui kepada salah seorang wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Turut kelihatan, Norita Bawi dan Pengarah SKMM Sarawak, Adiman Ajem.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Mei - Maxis telah menyalurkan sumbangan komputer dan komputer riba yang telah diperbaharui kepada beberapa komuniti B40 di Sarawak, melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) dalam usahanya untuk membantu pendigitalan komuniti di seluruh rangkaian Malaysia. 

 

Melalui sumbangan itu, penerima terpilih daripada komuniti B40 termasuk Persatuan Ibu Tunggal Sarawak, Kelab Carnation Bahagian Kuching dan Samarahan, Sarawak Women for Women Society dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak, dapat menyertai program pemasaran digital Maxis iaitu eKelas Usahawan.

 

Ketua Wilayah Malaysia Timur Maxis, Bhaarathyraja Thanapal berkata, syarikat berbesar hati dapat menyalurkan sumbangan dalam membolehkan lebih ramai komuniti bersalinghubung dan menyertai program seperti eKelas Usahawan.

 

“Keupayaan untuk memanfaatkan teknologi penting terutamanya dalam persekitaran pasca pandemik ini, tetapi tidak setiap keluarga mampu untuk memiliki peranti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengarah JWKS, Norita Bawi pula berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha mana-mana pihak yang menyediakan ekosistem digital agar wanita serta keluarga memperoleh kemahiran dan akses kepada peranti yang sesuai. 

 

"Hal ini penting supaya golongan wanita di negeri ini mampu menyumbang secara aktif dalam pembangunan yang dipacu oleh ekonomi digital. Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Maxis atas sumbangan peranti yang diberikan, yang pasti sangat membantu wanita ini," katanya.

 

Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Maxis kepada #MYBaikHati, program penyumbangan peranti yang telah diperbaharui peringkat kebangsaan untuk diedarkan kepada komuniti yang memerlukan, difasilitasi oleh industri telekomunikasi di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

 

 

maxis

 

 

Di bawah #MYBaikHati, Maxis telah mengedarkan lebih 420 komputer dan komputer riba ke sekolah dan Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PeDI) di seluruh negara. 

 

Selain membolehkan usahawan wanita mengakses program eKelas Usahawan, peranti itu juga membolehkan lebih ramai pelajar mendaftar dan mengakses eKelas, yang menawarkan kandungan digital selepas sekolah untuk pelajar tahun 4 hingga tingkatan 5 melalui portal eKelas dan aplikasi mudah alih. - DagangNews.com