Maybank anugerahkan biasiswa kepada tiga pelajar sempena sambutan Hari ASEAN ke-55 | DagangNews Skip to main content

Maybank anugerahkan biasiswa kepada tiga pelajar sempena sambutan Hari ASEAN ke-55

(Dua dari kiri) Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Maybank, Khairudin Abdul Rahman, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, Datuk Lim Jock Hoi dan Presiden Pengarah Maybank Indonesia, Taswin Zakaria bersama para penerima Biasiswa ASEAN-Maybank pada sambutan Hari ASEAN ke-55 hari ini di Jakarta, Indonesia hari ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Maybank telah menganugerahkan tiga biasiswa ASEAN-Maybank (AMS) di bawah program 2022, program biasiswa pertama oleh suatu organisasi serantau dengan kerjasama Sekretariat ASEAN.

 

Biasiswa-biasiswa itu disampaikan kepada tiga pelajar dari Kemboja, Malaysia dan Myanmar pada sambutan Hari ASEAN ke-55 di Jakarta hari ini oleh Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Lim Jock Hoi dan Tan Sri Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

 

Berucap pada majlis tersebut, Zamzamzairani mengucapkan tahniah kepada para penerima pertama kali dan berkata Maybank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Sekretariat ASEAN bagi memuktamadkan pengambilan program biasiswa itu.

 

“Apabila kami mula memperkenalkan program tersebut pada April tahun ini, kami amat berpuas hati dengan sambutan yang diterima dengan mencatatkan sejumlah 2,412 permohonan daripada semua 10 negara anggota ASEAN. 

 

"Hari ini, tiga penerima pertama AMS akan menyumbang kepada komuniti ASEAN yang lebih bermaklumat dan inklusif di samping usaha kami untuk terus menyokong aspirasi Pelan Tindakan Komuniti Sosio Budaya ASEAN 2025 dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama," katanya dalam satu kenyataan.

 

AMS direka bentuk untuk menyediakan warga ASEAN yang muda, berbakat dan layak, terutamanya mereka dari segmen berpendapatan rendah, dengan biasiswa penuh untuk melanjutkan pelajaran sarjana muda mereka di universiti berprestij di luar negara mereka sendiri, tetapi di dalam rantau ASEAN. 

 

Bagi pengambilan pertama tahun ini, sejumlah tiga biasiswa ditawarkan yang akan ditingkatkan secara berperingkat kepada 10 setahun menjelang 2025 dan seterusnya.

 

Biasiswa tersebut, yang akan melibatkan pelaburan kira-kira RM5 juta untuk pengambilan tahun ini sehingga 2025, adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Maybank untuk melabur dalam masa hadapan belia ASEAN melalui pendidikan.

 

Lim pula berkata, sebagai Entiti Bersekutu ASEAN yang terbaharu, Yayasan Maybank terus memajukan keterangkuman kewangan, menjana mobiliti sosial melalui program Biasiswa ASEAN-Maybank, serta mempromosi identiti dan warisan rantau ini.

 

Dalam memperingati ulang tahun ke-55 ASEAN, Maybank juga memperkenalkan buku ‘Maybank Women Eco-Weavers’ sebagai sebahagian daripada usaha bank untuk mempamerkan seni tenunan tekstil dan warisan ASEAN. 

 

Program Maybank Women Eco-Weavers bertujuan untuk memelihara seni tenunan tekstil sambil memperkasakan wanita daripada komuniti terpinggir di seluruh ASEAN. 

 

Sehingga kini, Maybank telah melabur lebih RM11.4 juta dan melatih 1,133 penenun di bawah program tersebut yang dijalankan di empat negara iaitu Kemboja, Indonesia, Laos dan Malaysia.

 

Zamzamzairani menambah bahawa Maybank komited untuk memacu program seperti Biasiswa ASEAN-Maybank dan Maybank Women Eco-Weavers untuk mencungkil bakat baharu dan merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan masyarakat serantau.

 

“Sebagai institusi kewangan terkemuka di rantau ini, kami berusaha untuk mendukung komuniti di pasaran kami beroperasi. Komitmen ini berteraskan misi kami untuk menginsankan perkhidmatan kewangan dan sejajar dengan komitmen kemampanan Bank di bawah pelan M25, untuk meningkatkan kehidupan 1 juta isi rumah di seluruh ASEAN menjelang 2025," katanya.

 

Program Biasiswa ASEAN-Maybank dan Maybank Women Eco-Weavers merupakan inisiatif penting peringkat ASEAN yang dilaksanakan oleh Yayasan Maybank, yang telah diiktiraf sebagai entiti akreditasi ASEAN pada 2021. - DagangNews.com