Maybank beli sijil tenaga boleh diperbaharui daripada anak syarikat TNB | DagangNews Skip to main content

Maybank beli sijil tenaga boleh diperbaharui daripada anak syarikat TNB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Okt. - Malayan Banking Berhad (Maybank) bakal menjadi bank pertama yang membeli komiditi tenaga tidak ketara bagi menyokong penjanaan tenaga diperbaharui sebagai salah satu daripada matlamat kemampanan kumpulan.

 

Ini selepas bank tersebut menandatangani surat perjanjian pada 6 Oktober 2021 dengan TNBX Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), untuk pembelian Sijil-Sijil Tenaga Diperbaharui Malaysia (mRECs) yang setara dengan 70% daripada pengeluaran karbon Skop 2 di operasinya di Malaysia.

 

REC adalah instrumen berdasarkan pasaran yang boleh diperdagangkan dan dihasilkan bagi setiap 1 MWh penjanaan tenaga boleh diperbaharui yang dihantar ke grid, bersama dengan semua manfaat persekitaran yang berkaitan dengan kehilangan 1MWh kuasa konventional.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, pembelian mRECs yang dimaksudkan adalah salah satu komponen usaha Maybank secara keseluruhan untuk mancapai matlamat kemampanannya yang baru-baru ini diumumkan sebagai sebahagian daripada rancangan M25 lima tahun kumpulan.

 

“Pengenalan mRECs ke portfolio kami adalah langkah untuk merealisasikan kedudukan karbon berkecuali pada tahun 2030 dan mencerminkan usaha utama kami dalam mendorong peralihan yang bertanggungjawab melalui komitmen kami untuk memilih tenaga boleh diperbaharui, di mana perlu untuk menggerakkan operasi kumpulan.

 

Abdul Farid Alias
Abdul Farid Alias

 

“Kami juga menyokong keseluruhan ekosistem kerana hasil daripada pembelian mRECs yang dimaksudkan akan digunakan untuk membangun lebih banyak loji tenaga yang boleh diperbaharui dan dapat mendorong pengembangan sumber tenaga tersebut di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pada Julai 2021, Maybank membentangkan komitmen kemampanan jangka panjang yang dirancang untuk mendorong pertumbuhan kumpulan dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) serantau.

 

Salah satu daripada empat komitmen utama mengenai kemampanan termasuk mencapai kedudukan karbon neutral untuk pelepasan Skop 1 dan 2 pada tahun 2030 dan kedudukan setara karbon bersih pada tahun 2050.

 

Sementara itu, REC membolehkan sesiapa dan di mana sahaja beralih kepada tenaga yang boleh diperbaharui, serta membenarkan pemilik sijil untuk menuntut faedah persekitaran dari pengeluaran tenaga bersih kerana sifat hijau atau kredit karbon diserahkan kepada pembeli.

 

Mereka juga diberikan pilihan kuasa hijau di kawasan yang mungkin tidak sesuai untuk sumber daya yang boleh diperbaharui, di mana membolehkan kemudahan tersebut ditempatkan di lokasi yang paling cekap.

 

Pembelian mRECs oleh Maybank adalah untuk tempoh lima tahun awal bermula Januari 2022 yang dijangka dapat mengurangkan pelepasan karbon Skop 2 operasi kumpulan di Malaysia sebanyak 70% setiap tahun.

 

“Dari pihak kami, sementara mRECs akan membantu mengurangkan pelepasan Skop 2 kami sekitar 70%, kami akan terus bekerja pada inisiatif dalaman yang lain untuk mencapai pengurangan sebanyak 30% pelepasan yang masih ada.

 

“Ini termasuk melaksanakan program-program kecekapan tenaga untuk mengurangkan penggunaan tenaga dalaman, meningkatkan kecekapan infrastruktur, mengurangkan perjalanan kakitangan dan meningkatkan rakaman bangunan hijau kami, serta menguruskan penggunaan sisa dan air manakala meningkatkan usaha kitar semula,” katanya lagi.

 

mREC didaftarkan di The International REC Standard Foundation (I-REC) yang merupakan organisasi global tidak berasaskan keuntungan.

 

Organisasi itu menyediakan taraf ciri piawaian pengesanan yang mantap untuk digunakan di seluruh dunia dan dipersetujui oleh semua standard serta kempen-kempen utama.

 

TNBX pula merupakan satu-satunya penyedia mRECs dengan pengiktirafan pensijilan dari I-REC. - DagangNews.com